SHAH ALAM - Terdapat dua faktor utama menjadi penentu bagi menilai Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dalam menetapkan anggaran kos sesebuah isi rumah menjalani kehidupan bermakna iaitu lokasi dan ciri demografi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, nilai PAKW bagi setiap rumah berbeza bergantung kepada kedua-dua faktor tersebut yang merangkumi jantina, umur serta saiz isi rumah.
"Pengelasan mereka yang layak atau tidak layak untuk menerima subsidi RON95 adalah berdasarkan kepada pendapatan boleh belanja bersih.
"Hasrat kerajaan adalah sehingga 85 peratus dari isi rumah mengikut kaedah ini yang akan menerima subsidi kerana ia lebih adil dan saksama.
"Langkah seterusnya adalah Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi kriteria-kriteria dan keputusan akhir itu dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan dan kemudian akan diumumkan kepada rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
PAKW merupakan jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh sesuatu isi rumah dan individu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pendekatan baharu itu diperkenalkan menerusi analisis data sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan pendapatan boleh guna bersih bagi isi rumah dan individu sebagai pendekatan baharu mengklasifikan sesuatu golongan.
"Setakat ini, PADU mengandungi profil demografi dan sosioekonomi terpilih bagi individu, isu rumah warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia, yang meliputi 30.1 juta individu," ujarnya.