BAITULMAQDIS - Menteri Kewangan sayap kanan Israel mahu negara haram itu memperluaskan pencerobohan dan menuntut Tebing Barat yang diduduki pada 2025.
Bezalel Smotrich berkata, beliau akan mendorong kerajaan Israel untuk melibatkan pentadbiran Donald Trump yang akan datang bagi mendapatkan sokongan Washington.
Smotrich juga memegang peranan penyeliaan Kementerian Pertahanan untuk peneroka sebagai sebahagian daripada perjanjian gabungannya dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Dia turut berharap pentadbiran Trump akan mengiktiraf dorongan kedaulatan Israel.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Luar Israel berkata, walaupun tiada keputusan dibuat, isu itu boleh dibincangkan dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di Washington pada masa hadapan.
Sementara itu, jurucakap Presiden Ppalestin Mahmoud Abbas berkata, kenyataan Smotrich mengesahkan hasrat kerajaan Israel untuk menggabungkan Tebing Barat dengan melanggar undang-undang antarabangsa.
Nabil Abu Rudeineh berkata, pihaknya menganggap pihak berkuasa pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kesan dasar berbahaya itu.
Tegas beliau, AS juga bertanggungjawab ke atas sokongan berterusan yang ditawarkannya kepada pencerobohan Israel.
Smotrich telah bertahun-tahun meminta kedaulatan Israel di Tebing Barat, tanah yang dimahukan rakyat Palestin untuk negara masa depan.
Pada mesyuarat sayap kanannya di Parlimen pada Isnin, Smotrich berkata, dia telah mengarahkan pihak berkuasa Israel yang mengawasi penempatan Tebing Barat"untuk memulakan kerja kakitangan yang profesional dan komprehensif untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan" bagi memperluaskan pencerobohan.
Dia turut menyatakan akan mendesak kerajaan untuk melibatkan pentadbiran Trump yang akan datang untuk mengiktiraf langkah sedemikian.
Bagaimanapun pada awal Isnin, Menteri Luar Gideon Saar berkata, pendirian kerajaan Israel dalam isu memperluaskan kedaulatan ke Tebing Barat masih belum diselesaikan.
Jelasnya, kali terakhir Israel membincangkan isu ini adalah pada penggal pertama Presiden Trump dan ia akan dibincangkan semula dengan Washington.
AS selama beberapa dekad menyokong penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin dan menggesa Israel supaya tidak meluaskan penempatan.
Pada tahun 2020, semasa penggal pertama Trump, perbincangan telah diadakan antara Israel dan Washington mengenai rancangan untuk menggabungkan bahagian Tebing Barat.
Tebing Barat adalah antara wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang Asia Barat 1967 dan tempat rakyat Palestin.
Kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan Israel di situ adalah haram. - Awani