KOTA BHARU - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menumpaskan kegiatan pemburuan haram selepas menahan enam lelaki di kawasan ladang Pongsoi Mukim Semantan, Lanchang, Pahang pada Ahad.
Tangkapan terhadap kesemua suspek berusia 35 hingga 61 tahun itu dilakukan pada jam 11.30 malam semasa penugasan Op Bersepadu Khazanah PGA bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan telah ditahan.
"Kami dapati terdapat seorang pemandu dan lima penumpang di dalamnya.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat selaras senapang patah jenis Remington 879 Express Magnum berserta 81 butir peluru hidup dan beberapa jenis peralatan lain untuk tujuan pemburuan haram ditemukan dalam kenderaan terbabit tanpa dokumen pemilikan yang sah," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, senapang dan peralatan memburu itu disyaki digunakan untuk pemburuan haram di sekitar kawasan Hutan Simpan Kemasul Temerloh.
Ujarnya, anggaran nilai rampasan bernilai RM10,810 dan kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek dan barangan rampasan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Temerloh untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pemburuan haram dari terus berleluasa di dalam negara," katanya.