PASIR MAS - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dicekup Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beras dari Thailand bagi pasaran tempatan di Simpangan Tiga Kampung Dangar di sini, pada Isnin.
Dalam serbuan jam 8 pagi itu suspek ditahan semasa memandu kereta jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan semasa penugasan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa bungkusan beras anggaran 475 kilogram (kg) ditemukan tanpa dokumen yang sah.
"Nilai rampasan kira-kira RM1,900 dan kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya pada Isnin.
Dalam kes berasingan, sebanyak 48 peket gula bernilai kira-kira RM141.60 dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran ditemui di pangkalan haram Gergaji, Rantau Panjang, pada jam 7.30 malam.
"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya," katanya.