'Tindakan peniaga itu seperti merendahkan martabat bahasa Melayu'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai tindakan peniaga donat susu di festival makanan di negeri ini yang menggunakan slogan berunsur tidak senonoh dan lucah untuk mempromosikan jualannya dianggap biadab dan tidak bermoral. (Gambar kecil: Ammar Imran)

ALOR SETAR -Tindakan seorang peniaga donat menggunakan perkataan tidak sesuai ketika mempromosikan produknya dilihat seperti merendahkan martabat bahasa Melayu.

Pengarah Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Pemuda Amanah Kedah, Ammar Imran Ahmad Mazhar berkata, tindakan itu juga bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan penghormatan terhadap segala perkara yang bersifat suci dan mulia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perkataan digunakan jelas mencetuskan rasa tidak senang dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

"Perkataan yang digunakan dalam konteks jual beli dan promosi itu didapati mengandungi konotasi yang tidak sesuai dengan budaya Melayu serta prinsip-prinsip Islam.

Iklan

"Apatah lagi apabila diungkapkan beserta dengan gaya dan aksi yang menjijikkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ammar Imran berkata, budaya Melayu kaya dengan adab dan sopan santun manakala Islam mengajarkan nilai kesopanan dan kesederhanaan.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, pihaknya kesal terhadap penggunaan perkataan yang tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan agama dalam kalangan segelintir anak muda dipopularkan peniaga itu.

"Pemuda Amanah Negeri Kedah juga mengingatkan penggunaan perkataan atau istilah tidak sesuai dengan nilai masyarakat dan agama boleh memberi kesan negatif terhadap penerimaan masyarakat serta merosakkan imej positif sepatutnya dibina peniaga terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa tindakan segera diambil pihak berkenaan untuk menasihati peniaga terbabit agar lebih berhati-hati dalam pemilihan perkataan dan mematuhi nilai-nilai diterima dalam masyarakat.

Tambah Ammar Imran, semua pihak berperanan dalam memastikan bahawa perniagaan dan komunikasi sosial dapat dijalankan dalam suasana harmoni, sopan dan penuh penghormatan terhadap budaya serta agama.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai peniaga donat yang menyertai sebuah karnival makanan menggunakan perkataan tidak senonoh untuk menarik perhatian pembeli.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tindakan peniaga donat susu di festival makanan di negeri ini yang menggunakan slogan berunsur tidak senonoh dan lucah untuk mempromosikan jualannya dianggap biadab dan tidak bermoral.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah Negeri, Izharul Khairi Taharuddin berkata, kaedah pemasaran itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat umum terutama mereka yang prihatin terhadap perkembangan moral anak muda.

Bagaimanapun, menerusi satu hantaran di TikTok, pengusaha donat susu itu telah tampil memohon maaf dan menerima segala teguran berkaitan video mereka yang dikritik netizen pada Isnin.

Menurutnya, video yang tular baru-baru ini bukanlah idea mereka sebaliknya melakonkan apa yang diarahkan sahaja.

Jelas lelaki itu, perkataan 'berayaq’ digunakan bermaksud doh mereka yang cair dan apabila dimakan donat cair di dalam mulut,manakala ‘jet’ pula bermaksud terajang.