JKKN hidupkan kembali pementasan teater Mak Yong

Iklan

TANJUNG MALIM - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mencari inisiatif baharu untuk menghidupkan kembali industri pementasan teater melibatkan karya agung dan tradisional.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, langkah itu termasuklah kolaborasi bersama penggiat seni tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di setiap negeri yang dapat membantu dalam aspek persembahan bakat, penyelidikan dan kajian lebih lanjut mengenai teater.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini penerimaan orang ramai terutama generasi muda terhadap pementasan teater tradisional termasuklah Mak Yong dan Mek Mulung begitu memberangsangkan.

"Kalau dahulu apabila disebut sahaja Mek Mulung dan Mak Yong, anak-anak muda ini begitu skeptikal dan kurang mengenali.

Iklan

"Bagaimanapun apabila dipentaskan dan dipertontonkan, mereka mula sedar bahawa pementasan karya sebegitu bukanlah sekadar menyampaikan hiburan semata-mata, tetapi berunsur pendidikan dan nasihat.

"JKKN mengambil tanggungjawab untuk menyuburkan khalayak baharu ini terus memahami, mengenali dan mencintai warisan tradisi negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan



Terdahulu, beliau menyaksikan pementasan teater tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Mak Yong Raja Tangkai Hati yang dipentaskan selama dua hari pada 9 dan 10 November merupakan antara 17 pementasan karya agung dan teater tradisional yang diadakan di seluruh negara bermula September lalu.

Pementasan turut dihadiri Yang Dipertua Kerabat Diraja Selangor dan Kelantan, Tengku Shamsulbhari Alhaj Tengku Azman Shah; Naib Canselor UPSI, Datuk Dr Md Amin Md Taff; Presiden Persatuan Solidariti Seni, Budaya dan Warisan Malaysia, Datuk Arifful Ahmadi Ab Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan, Mohd Radzi Omar.



Mohd Amran berkata, pementasan semua karya agung dan tradisional itu adalah yang pertama dilaksanakan JKKN menerusi dana Belanjawan 2024 bagi mengetengahkan karya seni dan sastera negara.

Katanya, setiap karya yang dipentaskan telah diberikan nafas baharu dengan suntikan elemen terkini dan janaan teknologi bagi menimbulkan sense of humor dalam kalangan penonton.

"Biasanya dahulu kalau adapun pementasan dilakukan, bilangannya tidaklah begitu banyak sekitar dua atau tiga pementasan sahaja setahun.

"Kini dengan adanya dana khusus diberikan kerajaan, kita dapat pergi jauh dengan kualiti pementasan yang lebih baik," katanya.

Gabungan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu

Sementara itu, pementasan 'Raja Tangkai Hati' yang dijayakan 90 tenaga kreatif, produksi dan urusetia merupakan kerjasama JKKN bersama UPSI, Persatuan Solidariti Seni, Budaya dan Warisan.



Seniwati, Datuk Fauziah Nawi dan pelakon, Issey Fazlisham antara yang menjayakan pementasan berkenaan.

Teater Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ adalah antara karya yang cukup terkenal dalam dunia pementasan teater dan sering menjadi persembahan warisan budaya Melayu.

Dengan gabungan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu, karya ini mengangkat nilai kebijaksanaan, keadilan, kesetiaan, pengorbanan, keberanian dan ketabahan seseorang selain nasihat yang bersifat tersurat dan tersirat sebagai pengajaran.

Kisah Mak Yong bermula dengan pelayaran Raja Tangkai Hati yang ingin pulang menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama isteri, Puteri Cempaka Emas dan dua anak iaitu Malim Bisnu dan Malim Bongsu.



Namun begitu, pelayaran mereka tergendala akibat kuasa Puteri Bota yang menimbulkan sebuah beting mengakibatkan kapal itu berhenti.

Hal demikian terjadi akibat Puteri Bota yang menyimpan dendam terhadap Raja Tangkai Hati yang tidak memperisterikannya.

Puteri Bota yang berniat jahat telah membuat tipu helah sehingga berjaya melarikan Puteri Cempaka Emas ke Teluk Mati Angin Pulau Mati Anak dan menyumpahnya menjadi separuh manusia dan separuh lagi mawas.

Puteri Bota yang berubah wajah menjadi Puteri Cempaka Emas berjaya memperdaya Raja Tangkai Hati sehingga bertindak mencampakkan kedua-dua anaknya ke dalam laut.



Malim Bisnun dan Malim Bongsu yang terapung di laut diselamatkan Dewan Betara Guru dan dari situ bermulalah perjuangan mereka untuk menghapuskan sumpahan dan kejahatan Puteri Bota.

Berkat kesungguhan, keberanian dan kasih sayang yang mendalam, Malim Bisnun dan Malim Bongsu berjaya menyelamatkan ibunda mereka, Puteri Cempaka Emas dan menyatukan kembali keluarga bersama Raja Tangkai Hati.

REAKSI



"Sebagai pelajar Kesusateraan Melayu, pendedahan ilmu melalui pementasan sebegini amat diperlukan." - Penuntut Pendidikan Kesusasteraan Melayu UPSI dari Sarawak, Mohammad Azriezal Ahmad, 21.



"Pengalaman pertama bagi saya. Walaupun terdapat sedikit kekangan dalam memahami bahasa (dialek Kelantan) digunakan, tetapi sekurang-kurangnya penonton mempelajari adat dan budaya negeri lain." - Penuntut Pengurusan Sumber Manusia UPSI dari Negeri Sembilan, V Kethana, 19.



"Ia satu pementasan yang sempurna. Dari segi lakonan, skrip dan muzik, semuanya disusun begitu teliti dan dipersembahkan dengan baik. Mak Yong bukan asing bagi saya, cuma kali ini saya hadir kerana belum pernah lagi menonton cerita Raja Tangkai Hati." - Penonton dari Singapura, Mohamed Norazam Hakub, 45.



"Sebelum ini saya langsung tak tahu apa itu Mak Yong, tetapi selepas menonton pementasan ini baru saya tahu bahawa negara kita kaya dengan seni warisan tradisional. Lebih membanggakan apabila sebahagiannya telahpun diiktiraf dunia." - Penuntut Pendidikan Bahasa Cina UPSI dari Perak, Ee Hui Wen, 20.