'Arwah bapa rajin bersih kubur'

Iklan
Gambar kenangan Allahyarham Daud (belakang empat dari kiri) bersama ahli keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Gambar kecil: Allahyarham Daud.

KUALA SELANGOR - Warga emas berusia 92 tahun dilaporkan maut dalam kemalangan semasa melintas jalan di Kilometer 60.5 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Isnin disifatkan sebagai seorang bapa yang ringan tulang selain sering membersihkan tanah perkuburan.

Anak perempuannya, Noraslinda, 44, berkata, bapanya, Allahyarham Daud Salim, menjadikan aktiviti membersih rumput, meracun dan menyapu daun kering di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang sejak usia muda lagi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, khidmat bakti dilakukan Allahyarham itu terhenti sejak 10 tahun lalu akibat kekangan kesihatan.

"Arwah memang rajin bersih kubur tanpa meminta upah daripada sesiapa pun kerana menyedari setiap yang bernyawa pasti akan dijemput Ilahi.

Iklan

"Abah ada beritahu saya, dia suka tengok semua kubur dalam keadaan terjaga tanpa mengira waris dan saudara-mara sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu memberitahu, Allahyarham bapanya yang menetap di Jalan Besar Tanjong Karang sebelum ini sering mengingati beberapa rakannya yang telah meninggal dunia.

Iklan
Noraslinda (duduk dua dari kanan) bersama ahli keluarga menunjukkan gambar Allahyarham bapanya yang maut akibat kemalangan pada Isnin.

"Ingatan arwah masih kuat dan selalu bercerita tentang rakannya yang telah tiada, kini arwah pula telah pergi buat selamanya.

"Kami rasa kehilangan lebih-lebih lagi abah menjadi tempat kami mencurah kasih sayang selepas ibu meninggal dunia dua tahun lalu," ujarnya.

Menurut Noraslinda, kali terakhir dia bertemu Allahyarham bapanya itu semasa Hari Raya Aidiladha tahun ini.

"Dapat juga kami merakam kenangan bersama-sama Allahyarham sebab biasanya abah memang susah hendak bergambar," jelasnya.

Noraslinda yang menetap di Klang memberitahu, kebiasaannya dia akan menghubungi kakak sulungnya, Rohana, 59, untuk bertanya khabar tentang keadaan kesihatan bapanya itu.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada Rohana pada pagi kejadian yang memaklumkan Allahyarham terlibat dalam kemalangan semasa melintas jalan.

"Waktu itu saya baru bersiap hendak ke tempat kerja dan menghantar anak bongsu ke sekolah, tetapi terkejut menerima berita sedih ini.

"Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya tidak putus-putus berdoa supaya ALLAH selamatkan abah, namun kami sekeluarga reda apabila arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang," kata Noraslinda.

Katanya, jenazah Allahyarham bapanya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Karang kira-kira jam 5 petang pada Selasa.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki warga emas maut dilanggar kereta dalam kejadian di Kilometer 60.5 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu berlaku sewaktu mangsa dipercayai dalam perjalanan ke sebuah kedai makan berdekatan untuk bersarapan.