KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada keperluan untuk merombak pentadbiran Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) akibat kejadian buli yang dilaporkan berlaku.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini pihaknya akan menyiasat apa yang berlaku di ALK sebelum ke fasa tindakan seterusnya.
"Buat masa ini, kita akan tengok semua hasil siasatan di mana kelemahan dan sebagainya dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai cadangan untuk melantik veteran tentera sebagai warden bagi mencegah kes buli, Mohamed Khaled berkata, ianya tidaklah sampai ke tahap itu.
"Dalam kes buli kedua yang berlaku memang sudah ada di kalangan mereka yang dilantik sebagai pengawas, yang tukang mengawas kadet sendiri di ALK,” katanya.
Jelas beliau, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan ALK adalah dua entiti berbeza dan kejadian buli yang berlaku adalah melibatkan kadet pelatih di ALK.
"Kadet ini di bawah Kementerian Pertahanan yang tempat tinggalnya di ALK, bila belajar dia akan pergi ke UPNM, yang berlaku kes buli ini semua di ALK,” katanya
Mohamed Khaled berkata, UPNM merupakan sebuah universiti yang bukan hanya menampung keperluan Kementerian Pertahanan dengan memberi tempat kepada kadet-kadet Kementerian Pertahanan.
"Tetapi UPNM juga mempunyai pelajar-pelajar daripada pihak awam dan kalau kita lihat kepada jumlah pelajar UPNM sepanjang pengambilan yang ada dalam 4,200 orang, daripada jumlah itu ketika ini kira-kira 1,000 adalah kadet.
"Kadet hanya 1/4 daripada jumlah pelajar-pelajar dalam UPNM. Jadi kadet ini adalah kadet yang ditaja oleh Kementerian Pertahanan, setiap tahun kita ambil 300 orang,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan kadet pelatihnya yang terlibat dalam aktiviti keganasan dan kekerasan.
Mohamed Khaled berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan termasuk terbabit dalam kes buli.
"Kita akan berhentikan mana-mana yang terlibat daripada menjadi seorang kadet dan kita akan menuntut supaya dibayar balik segala tajaan yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan yang kita telah berikan sepanjang masa mereka menjadi kadet,” katanya.
Berkenaan dengan langkah pencegahan bagi mengelak kes buli daripada terus berlaku di ALK, beliau berkata, langkah pengasingan pelajar tahun satu di ALK akan dilakukan bagi membendung kejadian kes buli daripada terus berulang.
"Kita asingkan pelajar pelajar tahun satu dan pelajar senior dari segi tempat tinggal dan ianya turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di semua blok dan akan tambah dari semasa ke semasa,” katanya
Beliau sebelum ini menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan kes buli terbaharu membabitkan pelatih UPNM yang dicederakan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Siasatan polis dalam kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu mengesahkan mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Minggu lalu, seorang pegawai kadet ALK UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.
Dalam kejadian itu, tertuduh telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua di bahagian kanan dada.
Pada 22 Oktober mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tiada keperluan untuk pihaknya merombak pentadbiran Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) susulan kejadian buli dalam kalangan kadet seperti dilaporkan.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya akan menyiasat kelemahan terlebih dahulu sebelum ke fasa tindakan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/696100/berita/semasa/kes-buli-upnm-tiada-keperluan-rombak-pentadbiran-alk
Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version
#SinarHarian #BuletinTikTok #Lantikantentera #AkademiLatihanKententeraan #KesBuli" />