[VIDEO] 40 peratus golongan B60 tiada pendaftaran kenderaan dengan JPJ

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan melihat kaedah mengenakan levi mengikut pemilikan kenderaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 berisiko menyebabkan keciciran lebih besar dalam kalangan golongan sasar yang boleh dibantu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kira-kira 40 peratus daripada keluarga B60 tidak mempunyai pemilikan kenderaan dalam pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Iklan
Iklan
Berdasarkan data PADU, kira-kira 40 peratus daripada keluarga B60 tidak mempunyai pemilikan kenderaan dalam pendaftaran di JPJ. Gambar hiasan

"Jadi, kita ada masalah kalau menggunakan pendaftaran kenderaan untuk mengendalikan penyasaran semula subsidi. Hakikatnya, bagi keluarga terbawah, mereka sebenarnya tidak ada pun pendaftaran kenderaan kerana ada keluarga yang mungkin menggunakan motosikal atas nama orang lain.

"Kita juga telah lalui perkara ini semasa pelaksanaan penyasaran diesel, yang mana orang yang menggunakan nama orang lain untuk kenderaan itu. Jadi, data itu menunjukkan ketidakpadanan yang besar akibat amalan yang berlainan di peringkat bawah, sama ada orang sambung bayar, ibu bapa beli untuk orang lain atau guna nama orang lain.

Iklan

"Maka, untuk kita menggunakan kaedah pendaftaran kenderaan itu, sebenarnya risiko keciciran adalah lebih besar,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkaitan kaedah mengenakan levi mengikut pemilikan kenderaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.

Iklan

"Semasa perbincangan dilakukan, semua perkara telah diperhalusi termasuk kaedah memberi bayaran tunai iaitu harga dinaikkan tapi dipulangkan kembali dalam bentuk bantuan bulanan.

"Secara umumnya, rata-rata ahli ekonomi mengatakan bahawa kaedah bayaran tunai adalah lebih baik kerana ia tidak melibatkan operasi di stesen minyak yang boleh mengganggu kelancaran operasi stesen minyak itu.

"Bagaimanapun, kerajaan melihat risiko kenaikan harga barang kerana kita sedia maklum apabila naik sahaja harga minyak, itu akan berlaku sehingga menyebabkan inflasi. Jadi, keutamaan sekarang adalah utamakan mengawal inflasi berbanding kaedah-kaedah lain,” ujar beliau.

Jelas Rafizi, pelaksanaan GST dan pengapungan harga minyak bermula pada tahun 2015 telah menyebabkan antara kenaikan harga makanan dalam tempoh 2015 hingga 2018, antara tiga peratus ke tujuh peratus secara berterusan.

"Kita juga mewarisi kenaikan inflasi yang mendadak semasa 2021 ke 2022 dan Dewan Rakyat sedia maklum bahawa apabila inflasi naik, maka harga barang kekal di situ. Satu-satunya cara untuk menangani kos sara hidup ini adalah memastikan kenaikan gaji lebih cepat daripada inflasi.

"Atas pertimbangan itu, walaupun pelaksanaan melalui kaedah harga dua peringkat ini ada risiko pelaksanaan di stesen minyak, ini adalah sesuatu yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa berbanding kalau ia dilaksanakan dan menyebabkan inflasi naik mendadak.

"Untuk membaiki itu dan memastikan harga barang rendah sebenarnya lebih susah dan itu lebih membebankan rakyat di masa akan datang,” jelasnya.