4 lelaki ditahan bantu kes rogol pelajar sekolah

Iklan
Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang pelajar sekolah secara bergilir-gilir di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 2 pagi, Ahad lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Sazalee)

BALIK PULAU - [DIKEMAS KINI] Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang pelajar sekolah secara bergilir-gilir di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 2 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiga suspek ditahan disyaki merogol mangsa manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Kesemua mereka bukan berasal dari negeri ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas mengenai kejadian tersebut, beliau berkata, mangsa yang berusia 14 tahun dan masih bersekolah itu dibawa keluar oleh kawan lelakinya untuk bersiar-siar di Relau pada jam 12.30 tengah malam, Ahad lalu.

Menurutnya, bagaimanapun pada jam 2 pagi, mangsa dibawa rakan lelakinya itu ke sebuah rumah di Sungai Ara lalu mereka mengadakan hubungan seks di bilik pertama rumah berkenaan.

Iklan

"Selepas melakukan hubungan seks dengan rakan lelakinya, mangsa telah dirogol oleh lelaki kedua dan ketiga di bilik berasingan. Mangsa tidak mengenali lelaki kedua dan ketiga itu.

"Selepas itu, mangsa diminta masuk semula ke bilik pertama lalu mengadakan hubungan seks sekali lagi dengan rakan lelakinya," katanya.

Sazalee berkata, kira-kira jam 3 pagi, mangsa dibawa rakan lelakinya menonton lumba haram motosikal di kawasan Bayan Baru bersama lelaki kedua dan ketiga.

"Selepas menonton lumba haram, mangsa sekali lagi dibawa balik ke rumah berkenaan lalu dirogol secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek.

"Rumah tersebut merupakan rumah sewa kepada kesemua suspek tersebut. Mangsa dihantar pulang ke rumah pada jam 5 pagi," katanya lagi.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati, mangsa mengenali rakan lelakinya itu selepas diperkenalkan oleh rakan yang lain pada April lalu.

"Mangsa akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut," katanya.