[VIDEO] ECRL: Pampasan untuk orang kampung rugi akibat serangan hidupan liar

Iklan

KUALA LUMPUR- Kerajaan memperkenalkan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024 bagi individu yang terkesan, impak daripada Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bantuan dalam bentuk kewangan secara sekali beri itu adalah bagi kumpulan sasar termasuk penduduk kampung yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga 31 Oktober tahun ini, seramai 170 pemohon telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah bantuan sebanyak RM608,000.

Nik Nazmi Nik Ahmad

"Bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam konflik manusia dan hidupan liar, mangsa atau waris yang terlibat dengan kes-kes konflik yang melibatkan kecederaan atau kematian boleh mendapatkan bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (KWABMSBB) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) tentang langkah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman hidupan liar yang memasuki kampung, impak projek ECRL terhadap biodiversiti di kawasan hutan simpan sehingga menyebabkan berlakunya konflik antara hidupan liar dengan manusia.

Tambah Nik Nazmi, kementeriannya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia amat prihatin terhadap impak projek ECRL kepada khazanah biodiversiti.

Iklan

Justeru katanya, Perhilitan telah bekerjasama dengan penggerak projek ECRL iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Pelan Pengurusan Hidupan Liar atau Wildlife Management Plan (WMP).

"Antara langkah-langkah mitigasi yang telah dilaksanakan di sepanjang jajaran ECRL ialah melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment - EIA) sebelum memulakan suatu projek untuk mengenal pasti spesies hidupan liar yang terdapat di kawasan tersebut serta potensi impak terhadap biodiversiti dan ekosistem.

"Selain itu, mewujudkan koridor ekologi bagi membolehkan hidupan liar bergerak dengan selamat dan mengurangkan fragmentasi habitat.

"Kita juga melaksanakan pemantauan berterusan dan kawalan konflik manusia dan hidupan liar melalui khidmat nasihat dan pemasangan perangkap hidupan liar terhadap spesies hidupan liar tertentu,” jelasnya.

Menurut Nik Nazmi, kerajaan juga menjalankan kajian konflik manusia dan gajah melalui pemasangan satelit kolar pada kumpulan gajah untuk mengetahui pergerakan dan laluan gajah bagi menyediakan koridor hidupan liar yang sesuai.

Selain itu, program kesedaran awam kepada pekerja di tapak binaan ECRL turut dibuat, di samping menjalankan operasi penguatkuasaan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] secara berkala di sepanjang laluan ECRL.