[VIDEO] Kes edar dadah Yusoff Rawther dipindah ke Mahkamah Tinggi

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis, membabitkan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret, S Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah tersebut.

Iklan
Iklan

Permohonan itu tidak mendapat bantahan daripada peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, 31.

Sementara itu, bagi satu lagi kes memiliki dua pistol tiruan di hadapan Majistret, S Mageswary, Izzat meminta mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.

Iklan

"Kami mahu meneliti, sama ada kes memiliki pistol ini wajar dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi tertuduh, iaitu pengedaran dadah.

"Kami mohon tarikh singkat, jika dibenarkan sebulan daripada hari ini," katanya yang kemudiannya tidak dibantah oleh Muhammad Rafique.

Iklan
Yusoff Rawther memakai baju T berwarna putih, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa, bagi sebutan kes mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

Bagaimanapun, Muhammad Rafique memohon pembelaan dibekalkan salinan pertuduhan kes memiliki yang dihadapi anak guamnya, sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mageswary menetapkan 13 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 12 September lalu, dia didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pada 9 Oktober pula, Muhammed Yusoff didakwa lagi dan dia mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki dua senjata itu di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

END