KUALA LUMPUR - Fasa dua bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijadualkan siap pada 31 Disember 2027.
Kementerian Pengangkutan menjelaskan, fasa satu ECRL antara Kota Bharu dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak akan siap pada 31 Disember 2026.
Menurutnya, kajian kebolehlaksanaan mengenai jenis barangan yang dijangka akan diangkut oleh projek rel tersebut untuk sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang, mengikut hayat perkhidmatannya juga telah dilakukan.
"Unjuran menunjukkan peningkatan dalam penghantaran komoditi seperti automotif, arang batu, petrokimia, produk minyak sawit dan sebagainya ke pelabuhan.
"Pelbagai jenis gerabak akan disediakan oleh ECRL untuk menampung kargo seperti gerabak rata, gerabak atas terbuka dan gerabak kotak dengan bilangan setiap gerabak khusus yang diperlukan juga telah diunjurkan.
"Reka bentuk setiap stesen ECRL juga telah mengambil kira perkara ini untuk memastikan tahap ketahanan dan keselamatan terus kekal,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi stesen ECRL untuk dijadikan hab pengangkutan kargo.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 9 Oktober lalu memberitahu bahawa projek ECRL yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur, mencapai 72.93 peratus setakat September.
Jelasnya, tahap kemajuan yang memberangsangkan itu, selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026.