SHAH ALAM - Warga Shah Alam dinasihat sentiasa berhati-hati dan memantau kenaikan air susulan hujan lebat berterusan pada Selasa.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan, patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara.
MBSA turut mengeluarkan notis pemberitahuan air pasang besar dijangka berlaku pada Rabu hingga Isnin depan di Stesen Pelabuhan Klang.
Menurut MBSA, paras air laut dijangka mencatat ketinggian tertinggi sehingga 5.5 meter pada Jumaat dan Sabtu.
"Pada Jumaat, diramal berlaku ribut di satu dua tempat pada waktu pagi disusuli hujan serta ribut petir pada petang dan malam.
"Sementara pada Sabtu, cuaca pagi berkemungkinan hujan dan pada petang serta malam diramal hujan juga ribut petir," menurut perkongsian di Facebook.
Tambah MBSA, penduduk boleh memohon bantuan kecemasan banjir dengan menghubungi Pasukan PANTAS di Talian 03-55105811 yang beroperasi 24 jam.