BANTING - Syarikat kurier, GD Express Sdn Bhd (GDEX) menggantung tugas seorang pemandu van syarikatnya yang dikesan terlibat dengan kes melanggar anjing liar di Taman Seri Bunut di sini dalam kejadian 6 November lalu.
GDEX menerusi kemas kini di media sosialnya memaklumkan, pihaknya kesal dan memohon maaf dengan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan dan beberapa langkah telah diambil susulan insiden tersebut.
"Pihak pengurusan telah menggantung tugas pemandu van berkenaan dan seterusnya akan mengambil tindakan tatatertib.
"Keselamatan adalah keutamaan syarikat dan kami akan meningkatkan prosedur protokol keselamatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian itu, pemandu berkenaan dikatakan melanggar seekor anjing liar yang terbaring di jalan raya Taman Seri Bunut.
Menerusi kenyataan sama, GDEX mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah membawa isu itu untuk perhatian syarikat.
Ujarnya, tindakan sewajarnya akan diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.