SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhasrat menjadi universiti itu bebas dadah dan menjadi inspirasi kepada institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, misi itu diharap dapat membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan penuntut dan membolehkan mereka fokus terhadap akademik seterusnya muncul sebagai graduan cemerlang.
"UiTM komited dalam menangani isu dadah yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar universiti awam," katanya pada Pelancaran Kempen Skuad Antidadah UiTM di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Kediaman Mawar, UiTM Shah Alam pada Selasa.
Majlis pelancaran Skuad Antidadah itu disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Skuad Antidadah merupakan inisiatif UiTM hasil kerjasama strategik bersama AADK bertujuan memperluas program pencegahan melibatkan mahasiswa, sekali gus memupuk budaya universiti bebas dadah di semua 34 kampusnya di seluruh negara.
Mohd Sazili memberitahu, mahasiswa yang menyertai Skuad Antidadah bukan sahaja berperanan sebagai agen penyampai maklumat dan sokongan bagi mereka memerlukan, tetapi juga sebagai contoh dan pemangkin dalam mempromosikan kehidupan sihat dan bebas dadah.
Beliau menjelaskan, selain memberi impak positif kepada mahasiswa UiTM, kerjasama itu juga dijangka memperluaskan pengaruh mesej antidadah kepada komuniti pendidikan lebih luas.
"AADK dan UiTM yakin bahawa inisiatif bersama ini akan memberi impak positif dan berpanjangan kepada penuntut serta komuniti, mewujudkan persekitaran universiti yang sihat dan selamat," tambah beliau.