Usah jadikan masjid pentas politik - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah berangkat bagi mempengerusikan Mesyuarat MUIP Ke-193 pada Selasa.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

Titah baginda, masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.

Iklan
Iklan

"Kita semua bertanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

"Jangan sesekali jadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat," titah baginda dalam titah diraja sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Ke-193 di sini pada Selasa.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah, alim ulama, asatizah dan penceramah harus menjadi contoh yang baik, menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

"Mereka yang telah diberikan tauliah diingatkan agar menggunakan peluang itu untuk menyampaikan ilmu bermanfaat dengan jujur dan amanah.

Iklan

"Penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.

"Tauliah yang diberikan boleh ditarik balik sekiranya didapati ia disalahgunakan," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berkenan mempengerusikan Mesyuarat MUIP Ke-193 di sini pada Selasa.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti dan pihak berkuasa terlibat agar mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat di negeri ini.

Titah baginda, isu itu amat membimbangkan kerana ia bukan hanya mencemarkan kesucian Islam malah berpotensi memecahbelahkan umat.

"Penyimpangan akidah satu ancaman serius yang tidak boleh dipandang remah kerana masalah itu 'ibarat api dalam sekam' yang boleh marak tanpa disedari.

"Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat Islam mudah terjerumus ke dalam ajaran -ajaran menyeleweng,"titah Al-Sultan Abdullah.