RIYADH - Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menegaskan bahawa Lubnan sedang menghadapi krisis luar biasa yang mengancam masa depannya, dengan penderitaan akibat pencerobohan Israel melanggar prinsip utama undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Kenyataan itu dibuat semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam yang diadakan pada Isnin di Riyadh.
Iklan
Iklan
Perdana Menteri Lubnan memaklumkan bahawa serangan berterusan rejim Zionis mengakibatkan lebih 3,200 kematian, serta mencederakan lebih 4,000 orang termasuk kakitangan perubatan.
Peningkatan konflik ini memaksa ramai rakyat Lubnan melarikan diri, sekali gus memburukkan lagi cabaran sedia ada yang dihadapi negara itu.
Beliau menyeru sokongan segera daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan dan mempromosikan kestabilan yang berkekalan.
Menegaskan semula komitmen Lubnan terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, Mikati menekankan keperluan memperkukuh kehadiran tentera di selatan, bekerjasama dengan pasukan pengaman, serta memperluaskan kuasa ke atas sempadan Lubnan.
Beliau turut menyeru gencatan senjata di Gaza serta keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara. - Bernama