KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan melaksanakan beberapa langkah proaktif untuk mencegah berlakunya kes buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan mengasingkan pelajar di akademi berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengasingan membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan dan melakukan roll call secara berasingan mengikut tahun pengajian kadet.
"Langkah ini kita telah lakukan sejak awal Januari dan Oktober lepas, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah di blok penginapan dan kawasan-kawasan lain yang dirasakan perlu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan yang diambil oleh kementerian berkenaan bagi mengekang kes buli di ALK.
Kegiatan buli di ALK kembali menjadi perhatian selepas dua kes dilaporkan membabitkan seorang pelajar junior ditekap dengan seterika wap panas manakala seorang lagi cedera parah di rusuk dan belakang selepas dipijak.
Kedua-dua kejadian berlaku pada 21 dan 22 Oktober lepas dan masing-masing dilakukan oleh pelajar tahun tiga akademi berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga akan mengenakan hukuman setimpal kepada kadet yang terlibat dalam perbuatan itu sebagai langkah pencegahan.
"Kita akan tingkatkan lagi kesedaran dalam kalangan kadet ini supaya mereka tidak melakukan perkara- perkara tidak diingini yang pada akhirnya akan menjejaskan kedudukan mereka.
"Kalau sesuatu insiden itu melibatkan kes mahkamah maka saya pasti pembelajaran semasa mereka di universiti akan digantung. Jika mereka dibuang, mereka perlu bayar balik wang perbelanjaan yang diberikan oleh kementerian. Jadi, kita harap hal ini menjadi satu pengajaran atau bersifat pencegahan kepada mereka," katanya. - Bernama