SHAH ALAM - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan berkaitan kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta dekat Ampang Point, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kejadian terbabit hanya melibatkan kecuaian dan bukannya melibatkan sebarang unsur jenayah.
"Beg berisi wang tunai itu diambil dari sebuah bank dekat Ampang Point dan dibawa menggunakan sebuah van syarikat kawalan keselamatan untuk ke sebuah lagi bank di Kuala Lumpur.
"Ketika melalui selekoh di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), pintu belakang van dipercayai terbuka mengakibatkan beg berkenaan terjatuh," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak disedari pengawal keselamatan yang bertugas sebelum beg berkenaan ditemui orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.
"Siasatan turut dilakukan menerusi semakan kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang perjalanan mendapati tiada sebarang elemen jenayah yang dikesan.
"Kertas siasatan berkaitan kes ini telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Sebelum ini dua pengawal keselamatan masing-masing merupakan lelaki dan wanita berumur 52 tahun dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kehilangan beg berisi wang tunai terbabit sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, polis memaklumkan beg berisi wang tunai berkenaan yang dilaporkan hilang telah ditemui hari sama di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati wang berkenaan ditemui oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.