Lantikan Peguam Negara baharu tak pamer kesungguhan kerajaan - Bersih

Iklan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa proses lantikan Peguam Negara yang baharu tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk melakukan reformasi institusi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berpandangan pelantikan berkenaan haruslah melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK).

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu perlu dibuat bagi memastikan calon-calon pemilihan sebagai Peguam Negara dibuat dengan lebih inklusif dan telus, malah boleh turut mendapatkan pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil.

Jelasnya, Peguam Negara sepatutnya hanya perlu bertanggungjawab menjadi penasihat undang-undang kerajaan.

Iklan

"Malah Peguam Negara juga boleh dilantik daripada ahli Parlimen yang menjadi anggota Kabinet kerajaan supaya boleh terlibat dalam mesyuarat Kabinet dan menasihati dari sudut undang-undang.

"Menerusi lantikan baharu ini, Bersih terus menggesa supaya Peguam Negara memainkan peranan untuk menyegerakan proses pemisahan akan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Iklan

Tambah kenyataan itu, Bersih juga menuntut supaya tidak ada lagi amalan pemberian DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) mahupun DNA (melepaskan dan membebaskan) oleh Jabatan Peguam Negara khususnya melibatkan pemimpin politik seperti sebelum ini.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara baharu, berkuat kuasa pada Selasa.

Pengumuman pelantikan itu dibuat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Shamsul Azri, pelantikan Mohd Dusuki telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Dusuki, 57, menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Shamsul Azri berkata, Mohd Dusuki berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.

Beliau mempunyai pengalaman luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.