Keputusan 12 kes AMLA, 5 elak cukai Rosmah 19 Disember

Iklan
Rosmah ketika hadir ke Mahkamah Tinggi bagi prosiding kes AMLA dan LHDN - Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menetapkan keputusan 12 kes pengubahan wang haram dan lima tuduhan mengelak cukai terhadap Datin Seri Rosmah Mansor pada 19 Disember depan.

Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Iklan
Iklan

Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, 17 pertuduhan jenayah membabitkan Rosmah adalah sah dan mengandungi butiran yang mencukupi.

Justeru itu beliau berkata, tiada sebab isteri bekas Perdana Menteri itu tidak dapat mengemukakan pembelaan yang sewajarnya, sebagai mana dakwaan pembelaan Rosmah bahawa pertuduhan itu cacat kerana ia bertindih, kerana membabitkan subjek yang sama.

Iklan

Menjawab hujahan permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan, Ahmad Akram berkata, pembelaan gagal mengiktiraf prinsip undang-undang asas yang mengawal kaedah pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.

"Pertuduhan yang dipersoalkan itu tidak bertindih, juga tidak cacat sebaliknya ia mencerminkan tindakan jenayah yang berbeza.

Iklan

"Setiap satunya berlaku pada masa yang berlainan dan memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop kelakuan tertuduh," katanya.

Sebelum ini, peguam, Amer Hamzah yang mewakili isteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas Rosmah adalah cacat.

Beliau menghujahkan, kes ini juga salah di sisi undang-undang, maka anak guamnya perlu dibebaskan daripada semua kes berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Wanita ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.