Kerajaan Kelantan tidak akan berundur gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah

Iklan
Mohd Nassuruddin (tengah) ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Hududullah di Kota Bharu.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak akan berundur dalam memastikan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang terbatal sebelum ini, digubal semula dan dapat dikuatkuasakan kembali.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, adalah menjadi peranan sesebuah kerajaan bertindak sebagai ‘pengawal’ kepada agama dalam menegakkan syiar Islam.

Iklan
Iklan

"Menjunjung amanah tersebut, kerajaan negeri Kelantan tidak pernah berundur walau setapak untuk memastikan Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan itu dilaksanakan dan menggubal semula 16 seksyen yang dibatalkan baru-baru ini.

"Usaha ke arah itu diteruskan dan perbincangan terkini berkait perkara tersebut dibuat pada bulan lepas,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Hududullah kali ke-19 Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1446H / 2024M di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, penganjuran Hari Hududullah itu juga adalah medium terbaik untuk mendidik dan mengajak masyarakat agar lebih cakna kepada undang-undang syariah serta menolak budaya yang bercanggah dengan syariat Islam.

Mohd Nassuruddin (dua dari kanan) ketika tiba di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Kota Bharu pada Selasa.

"Kerajaan Kelantan serius dan tidak gentar dalam mendepani cabaran semasa untuk melaksanakan tuntutan tersebut walaupun ada ‘suara’ mendakwa kami sengaja hendak bermain politik dalam isu ini,” kata beliau.

Iklan

Mengulas perkara itu, Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf penggubalan semula 16 enakmen yang terbatal tersebut dijangka siap hujung tahun ini sebelum dapat dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri tahun depan.

"Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermesyuarat pada 30 Oktober lalu bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mencadangkan dan menggubal semula enakmen yang dibatalkan.

"Draf-draf akan digubal melalui 15 ahli jawatan kuasa terdiri daripada pakar perundangan syariah, pentadbir, agamawan dan para akademik,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala Kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.