SEREMBAN - Seorang mudir dan pengerusi sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didenda masing-masing RM1,700 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa atas pertuduhan menguruskan sekolah tanpa perakuan pendaftaran.
Hakim, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Ahmad Azam Jaafar, 46, dan Lutfi Mohamad Hamin, 58, yang masing-masing mempunyai dua isteri serta 15 dan 12 anak selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau turut memerintahkan masing-masing dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Selain itu, madrasah berkenaan tidak dibenarkan beroperasi sehingga didaftarkan dan barang kes yang disita perlu dikembalikan dalam tempoh 14 hari, begitu juga dengan wang jaminan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Ahmad Azam dan Lutfi Mohamad masing-masing didapati menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan tanpa mendapatkan perakuan pendaftaran daripada Pendaftaran Sekolah Islam di bawah Seksyen 13 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
Mereka masing-masing menguruskan madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau antara Februari 2023 hingga September 2024 dan Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah antara Disember 2021 hingga September 2024.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 iaitu Menguruskan Sekolah Islam Tanpa Perakuan Pendaftaran.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Ahmad Azam dalam rayuannya meminta hukumannya dikurangkan kerana tiada pendapatan tetap dan wang simpanan serta perlu menanggung dua isteri serta 15 anak.
Katanya, buat masa ini bagi menyara hidup dia berniaga kuih di tepi jalan dengan pendapatan purata RM50 ke RM80 sehari.
Lutfi Mohamad turut memohon hukuman minimum kerana kini tiada pendapatan tetap dan mempunyai dua isteri serta 12 anak yang enam daripadanya masih bersekolah.
Selain itu, Lutfi Mohamad turut didakwa mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak di lokasi sama.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu perbuatan salah.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara dari Negeri Sembilan dan sebutan semula kes 22 Januari depan
Dalam pada itu, timbalan mudir madrasah sama dengan Ahmad Azam iaitu Muhammad Ghazalyi Othman, 54, turut didapati mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah.
Dia turut tidak mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada penghujung tahun 2022 hingga September 2024.
Sebutan semula kes 4 Februari depan dan bon jaminan RM2,000 dikekalkan.
Pendkawaan kes dikendalikan, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Rohaizad Redzuan, Mohd Azizuddin Abdullah Halim dan Abdul Wafi Ramli.