SAN FRANCISCO - Sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Elon Musk telah muncul sebagai tokoh berpengaruh dalam lingkungan orang kuat Donald Trump kini menjadi 'broker utama' di bawah proses peralihan kuasa ke Rumah Putih.
Rangkaian media tempatan melihat bilionair Amerika tersebut dijangka memainkan peranan penting untuk membentuk pentadbiran Trump 2.0.
Musk banyak menghabiskan masa di kediaman rasmi bakal Presiden ke-47 AS itu, Mar-a-Lago di Florida sejak minggu lalu malah tampil menerusi foto keluarga Trump pada malam pilihan raya.
Pemilik platform X itu juga dilihat makan bersama bakal Wanita Pertama, Melania dan bermain golf bersama keluarga pemimpin tersebut.
Sumber mendedahkan kepada ABC News, Musk turut mempertimbangkan pilihan calon Trump yang akan membarisi Kabinet beliau, sekali gus membuktikan beliau telah memperkukuhkan kedudukannya untuk mempengaruhi keputusan penting tersebut.
Difahamkan, Musk mempunyai hubungan yang rapat dengan Howard Lutnick yang mengetuai proses peralihan kuasa Trump ke Rumah Putih.
Keakraban bersama Trump turut memberi pulangan lumayan kepadanya apabila nilai kekayaannya meningkat kira-kira AS$70 bilion (RM310 bilion) susulan lonjakan saham firma kenderaan elektrik, Tesla miliknya.
Menurut Forbes, nilai kekayaan Musk kini mencecah AS$320 bilion (RM1.4 trilion) mengatasi Larry Ellison yang merupakan pengasas syarikat perisian, Oracle dengan nilai kekayaan AS$230.7 bilion (RM1.02 trilion).
Musk antara pembiaya utama kempen Trump dengan menyalurkan sebanyak AS$130 juta (RM578 juta) demi memastikan bilionair hartanah itu kembali semula ke Rumah Putih yang kemudiannya akan memberi manfaat besar kepada perniagaannya.
Beliau turut menggunakan platform X untuk menzahirkan sokongan penuh ke atas calon Parti Republikan tersebut meskipun menyalahgunakan laman blog mikro itu dengan menyebarkan maklumat salah.
Menjelang peralihan kuasa ke Rumah Putih, Musk dijangka memperkukuhkan lagi pengaruh beliau demi memastikan segala keputusannya juga akan dipertimbangkan oleh Trump. - Agensi