KUALA NERUS - Pasangan suami isteri menahan sebak sebaik menerima segulung ijazah anaknya yang telah meninggal dunia pada 4 April lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Muslim Hasan, 62, dan Aniza Ismail, 55, menerima Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian milik Allahyarhamah Nur Aqilah pada sidang keempat Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Selasa.
Anak ketiga dari enam beradik itu meninggal dunia pada usia 24 tahun merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian di Fakulti Sains Sosial Gunaan, UniSZA.
Muslim berkata, Allahyarhamah Nur Aqilah sempat berpesan kepadanya dan isteri untuk menjaga tiga ekor kucing jalanan peliharaan arwah anaknya itu yang berada di rumah sewa di Taman Telipot, Kuala Nerus.
Bercerita lanjut mengenai Allahyarhamah Nur Aqilah, Muslim berkata, arwah sepatutnya melapor diri untuk menjalani latihan industri di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis pada 10 Mac lepas.
"Namun anak saya telah jatuh sakit seminggu sebelum lapor diri dan diberi cuti sakit selama 13 hari bermula 10 Mac sehingga 24 Mac lepas.
"Pada 18 Mac lepas, doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit SLE,” katanya ketika ditemui selepas sidang keempat Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muslim berkata, Allahyarhamah Nur Aqilah tetap melapor diri untuk menjalani latihan industri di LPPKN kerana merasakan dirinya telah sihat.
Bagaimanapun, Muslim berkata, arwah anaknya itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama enam hari pada 26 Mac lepas.
Dalam pada itu, Muslim berkata Allahyarhamah Nur Aqilah bercita-cita untuk memberikan impak positif kepada masyarakat melalui kerja sosial.
"Arwah anak saya juga berharap untuk menggunakan ilmu yang dipelajari untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Namun hajatnya tidak kesampaian...pada tahun keempat pengajian, anak saya telah meninggal dunia pada 4 April lepas di pekarangan Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis akibat penyakit SLE yang dihidapinya," katanya dengan nada sebak.