GERGASI Liga Super, Sabah FC tidak memandang rendah keupayaan kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC apabila kedua-dua pasukan berentap pada Pusingan 16 Piala Malaysia.
Malah, pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menegaskan kelab yang berpangkalan di Putrajaya itu berkemungkinan boleh mengejutkan Sabah sekiranya pemain-pemainnya gagal memberikan tumpuan.
Jelasnya, kejohanan kalah mati seperti saingan Piala Malaysia sememangnya mampu menghadirkan kejutan biarpun di kertas undian lebih memihak kepada kelab dari Kepulauan Borneo tersebut.
"Lebih menarik, apabila kita akan bertembung semula dengan bekas pemain Sabah FC, Amri Yahyah yang kini beraksi untuk PT Athletic.
"Kita tak boleh memikirkan jalan mudah, apa yang penting Sabah FC harus layak ke peringkat seterusnya dan enggan memikirkan siapa lawan selepas itu,” katanya.
Jelas Kim Swee pada ketika ini, Sabah perlu menewaskan PT Athletic terlebih dahulu dalam dua perlawanan timbal balik pusingan 16.
"Selepas itu, baru kita memikirkan langkah seterusnya....Kalau kita lihat senarai pemain PT Athletic mereka dibarisi pemain cukup berpengalaman.
"Kita harus waspada dengan apa jua yang akan berlaku dalam perlawanan itu nanti termasuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada beberapa pemain lain menyertai PT Athletic FC dilihat mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia,” kata Kim Swee.