Pas sokong Anwar bina konsensus singkir Israel daripada PBB

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

KOTA BHARU - Pas menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa konsensus untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usaha terbabit dipuji sebagai satu cadangan yang baik dan disokong kerana Israel memang terbukti melakukan kezaliman terhadap Palestin.

Iklan
Iklan

"Mahkamah antarabangsa sudah buat kenyataan berkait keganasan Israel dan beberapa negara pun menyatakan perkara sama.

"Selain agama, ini soal keadilan dari sudut undang-undang yang tidak sepatutnya berlaku keganasan seperti dilakukan Israel, oleh sebab itu saya sokong penyingkiran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Sambutan Hari Hududullah kali ke-19 Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1446H / 2024M yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mohd Amar yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan mengulas, seluruh negara Islam dunia bagaimanapun perlu bersatu hati dalam memastikan tindakan pantas dan tegas terhadap rejim Zionis itu.

Iklan

"Bergantung pada sokongan sebab isu sekarang ini ada negara Islam sendiri pun masih lagi macam menyokong Israel, itu masalah besarnya.

"Sepatutnya dalam isu Palestin, seluruh negara Islam memainkan peranan untuk membela Palestin tetapi perkara itu tidak berlaku dan sebahagiannya masih lagi takut-takut kepada Amerika, itu lebih malang walaupun sudah ratusan ribu mati dibunuh serta kemusnahan berlaku,” kata beliau.

Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Isnin, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Berucap dalam sidang kemuncak itu, beliau turut memberi amaran bahawa jika dunia gagal bertindak, keganasan itu boleh merebak dan membahayakan seluruh kawasan kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.