SUNGAI PETANI – Naluri hati ibu Sharifah Nafika Ahmad Kamal, 27, sekali lagi terusik apabila terpaksa menggunakan lilin untuk membesarkan lubang dubur anaknya, Muhammad Arif Aryan Mohd Kamal Aril, empat bulan.
Nafika yang juga seorang suri rumah berkata, selepas pembedahan, dia lega apabila anaknya kini boleh membuang najis secara normal tetapi perlu membesarkan laluan itu menggunakan lilin.
"Alhamdulillah, Aryan boleh membuang seperti biasa tetapi lebih kerap. Lubang najisnya pula masih kecil dan doktor meminta kami menggunakan lilin mengikut saiz tertentu yang dijolok ke dalam bahagian itu, dua kali sehari.
"Memang perit sebab dia akan menangis sekuat hati dan kalau diikutkan sebagai ibu, tak sanggup nak buat, tapi apakan daya, nak bagi sihat ja,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah Aryan yang berdepan masalah usus, terpaksa dikeluarkan najis secara manual menggunakan tiub khas yang ditarik keluar dua kali sehari.
Suaminya, Mohd Kamal Arif Kassim, 27, hanya bekerja sebagai pembuat bingkai kaca dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Selain Aryan, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Arif Arsyad, 3.
Permohonan bagi mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum dihantar berikutan menunggu laporan lengkap perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah.
Sementara itu, Econsave Bandar Puteri Jaya tampil menghulurkan bantuan menyerahkan barangan keperluan bayi termasuk susu dan lampin pakai buang untuk Aryan.
Ketua Bahagian Runcitnya, Norasyikin Abdullah berkata, selain barangan untuk bayi berkenaan, pihaknya juga menyediakan barangan dapur dan makanan kering untuk meringankan beban keluarga berkenaan.
Bagi yang ingin membantu, mereka boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 152050409065 atas nama Mohd Kamal Arif.