IPOH - Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani kuasa besar Israel dalam isu pembebasan Palestin perlu disahut negara Islam yang lain.
Setiausaha Agung Muafakat Ilmuan Islam (MUIS), Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, sokongan negara Islam secara kolektif akan menampakkan langkah lebih strategik dalam usaha membuang kuasa veto yang ada pada rejim berkenaan.
Menurutnya, keganasan dan kekejaman yang masih berterusan membuktikan Israel tidak mematuhi sebarang peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana dilindungi secara veto oleh Amerika Syarikat.
"Jenayah genosid ini tidak akan berlaku jika tidak diizinkan oleh Amerika dan PBB.
"Dalam hal ini, kehendak umat Islam perlu disatukan menuju pembebasan tanpa terikat dengan pengiktirafan badan dunia lain yang selama ini di bawah telunjuk barat dan Israel," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Isnin, Anwar di sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika dunia gagal bertindak, keganasan itu boleh merebak dan membahayakan seluruh kawasan kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.
Mengulas lanjut, Ahmad Syamil berkata, kenyataan Anwar itu secara jelas memperlihatkan ummah perlu keluar daripada kebergantungan keputusan pihak lain.
Katanya, perlu fahami hakikatnya Israel sedang menunjukkan kekuasaannya ke atas semua badan antarabangsa tanpa ada pihak yang boleh menghalangnya.
"Selagi ummah tidak bergerak secara merdeka, tidak bersatu atas kekuatan ummah, masih terikat dengan kepentingan-kepentingan dijanjikan badan-badan dunia.
"Maka, selagi itu kita masih bermain dalam permainan sama dan dunia Islam akan kekal dipolitikkan dan dicaturkan oleh kuasa-kuasa dunia," katanya.
Sementara itu, di PULAU PINANG, muftinya, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, membela umat Islam Palestin serta perjuangan rakyat Palestin bukan sesuatu yang mudah dilakukan jika tidak mempunyai keberanian yang tinggi dan takut berhadapan dengan risiko.
"Keberanian Perdana Menteri dalam menangani isu Palestin datang daripada kekentalan jiwanya sejak sekian lama dalam perjuangan menuntut keadilan. Antara kata-kata beliau yang masih diingati oleh rakyat Malaysia ialah 'kalau takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan.
"Ketika negara Islam lain terutamanya negara-negara Arab dilihat tidak begitu berani dalam memperjuangkan isu Palestin, Malaysia diterajui oleh Anwar begitu berani dan lantang di persada antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah ditindas sejak sekian lama oleh rejim Zionis.
"Justeru, tidak hairanlah jika umat Islam di seluruh dunia sangat mengharapkan Malaysia untuk terus berperanan dalam membela Palestin menghadapi kekejaman dan kezaliman Zionis yang tidak pernah terpadam," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama erat perlu dilakukan untuk membangunkan semula Gaza yang telah hancur dilanyak Israel.
"Seperti diutarakan Anwar, keamanan adalah aspek paling penting untuk kehidupan generasi pada masa kini dan akan datang. Segala kekejaman dan kezaliman adalah sesuatu yang wajib ditentang.
"Sebagai rakyat Malaysia dan Mufti Pulau Pinang, saya menyokong penuh ucapan yang telah disampaikan Anwar," katanya.
Beliau menambah, keadilan wajib ditegakkan demi membela rakyat Palestin yang dizalimi.
"Negara-negara Arab dan Islam lain tidak sepatutnya berdiam diri dan terus berpeluk tubuh melihat kekejaman dilakukan Israel yang tidak bertamadun itu. Kekejaman dan kezaliman mereka perlu dihentikan segera.
"Sesungguhnya umat Islam mesti meneruskan perjuangan yang jitu untuk mengembalikan bumi Palestin daripada tangan Yahudi yang durjana, seterusnya mengembalikan keamanan dan keadilan kepada dunia," ujarnya.
Kata beliau lagi, umat Islam seluruh dunia perlu terus berjuang untuk menyelamatkan Palestin daripada terus dinodai.
"Anwar diharap dapat terus menerajui dunia menentang kezaliman Zionis serta bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan kedamaian," tambahnya.