Piala AFF 2024: Aguero tekad raih tempat dalam skuad Harimau Malaya

Iklan
Sergio Aguero - Foto: Bernama

PENYERANG naturalisasi, Sergio Aguero tekad memastikan dirinya mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2024 bulan depan.

Pemain Sri Pahang FC itu meluahkan rasa bangga dan terujanya ketika mewakili Malaysia dua tahun lepas yang menyaksikan pasukan kebangsaan mara ke separuh akhir dengan beliau turut menjaringkan dua gol.

Iklan
Iklan

"Saya sentiasa berharap untuk berada di sini (bersama skuad). Saya akan cuba memberikan yang terbaik buat skuad kebangsaan dan juga untuk disenaraikan ke Piala AFF 2024.

"Saya sangat berharap untuk dipanggil kerana dalam edisi lepas, saya berpeluang bermain dan rasa sangat gembira,” kata penyerang berusia 30 tahun itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pasukan kebangsaan berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini.

Iklan
Skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand, bagi perlawanan menentang Laos pada 14 November dan India di Hyderabad pada 18 November. - Foto: Bernama

Pasukan kebangsaan di bawah kendalian Pau Marti Vicente dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok pada Khamis ini sebelum berdepan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, 18 Nov.

Selepas tewas dalam dua perlawanan persahabatan bulan lepas, Aguero bersemangat untuk membantu Malaysia bangkit dengan matlamat memperbaiki ranking pasukan dan membawa kegembiraan kepada penyokong.

Iklan

"Kami mahu meraih enam mata dan saya harap dapat melakukannya dan menceriakan peminat. Pasukan berada dalam keadaan bagus dan pemain terbaik sentiasa dipanggil, tentunya pemain lain seperti Romel (Morales) yang cedera akan dirindui, tetapi ada pemain lain yang bersedia menggantikannya,” katanya.

Aguero yang telah membuat 10 penampilan untuk Malaysia, kali pertama beraksi pada Disember 2022 dalam kemenangan 4-0 ke atas Kemboja, tetapi terlepas pemilihan untuk Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, awal tahun ini.

Penampilan terkini beliau adalah ketika Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan bulan ini menentang Laos dan India turut menyediakan tahap persiapan penting untuk skuad Vicente menjelang Piala AFF 2024.

Malaysia, juara 2010, diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste. - Bernama