IPOH - Ancaman penipuan dalam talian atau scam bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan kepada negara, malah memberi kesan kemurungan dan tekanan perasaan kepada mangsa.
Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Wan Roshaimi Wan Abdullah berkata, dapatan itu diperoleh berikutan kes dilaporkan melibatkan penipuan dalam talian semakin berleluasa.
Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, Pusat Tindakbalas Insiden Siber - Cyber999 yang dikendalikan CyberSecurity Malaysia merekodkan 5,181 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet.
"Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu 3,483 kes diikuti insiden berkaitan kandungan (480) dan kod jahat (403).
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Anti-Scam Kebangsaan (JASK) 2024 peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Program selama tiga hari bermula Isnin itu dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman dan serangan siber serta langkah pencegahannya.
Sementara itu, dalam sidang media, Mohd Azlan berkata, kes penipuan dalam talian di Perak masih tinggi dan membimbangkan sekali gus menjadi cabaran utama dalam usaha kerajaan negeri menggalakkan digitalisasi.
Menurut beliau, bagi menangani kes itu, kerajaan negeri akan terus memperkasakan program kesedaran anti scam di peringkat akar umbi dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk 180 komuniti Madani seluruh negeri.
"Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) telah menegaskan agar Perak dapat bergerak ke arah pendigitalan sebagaimana digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Jadi menjadi tugas saya untuk memastikan negeri ini berada dalam landasan yang tepat ke arah itu.
"Saya tidak mahu isu seperti kes scam ini merencatkan usaha kerajaan negeri kerana ia dilihat menakut-nakutkan masyarakat tentang hal berkaitan pendigitalan,” katanya.
Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Perak merekodkan 1,407 kes jenayah penipuan dalam talian melibatkan kerugian lebih RM55.3 juta.
Perak merupakan destinasi terakhir JASK tahun ini selepas Johor (Mei) dan Kedah (Jun).
Sejak diperkenalkan pada 2023, program sama telah diadakan di enam negeri, iaitu Selangor/Kuala Lumpur, Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Putrajaya.