MINGGU lalu, Merak Jalanan mengajak seorang rakan untuk menghabiskan masa bersantai-santai di sebuah pusat beli-belah berdekatan Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Ajakan Merak Jalanan itu dibalas dengan sindiran pula. Katanya, adakah Merak Jalanan yakin untuk bersantai-santai di sana? Apa status Merak Jalanan untuk menghabiskan hari minggu di sana?
Tak faham Merak Jalanan dengan reaksinya itu. Nak ajak bersiar-siar di pusat beli-belah di hari minggu pun perlu melihat statuskah?
Sambil tersenyum, rakan Merak Jalanan pun menerangkan bahawa sindirannya itu berikutan tular satu kritikan seseorang yang meminta para pemilik kenderaan buatan Malaysia yang ala-ala B40 supaya tidak memenuhi ruangan parkir di salah sebuah pusat membeli-belah di Mont Kiara.
Katanya, si fulan itu takut pemandangan di situ akan cacat.
Terus Merak Jalanan tepuk dahi. Pusat beli-belah pun ada kasta, ke? Apa sudah jadi dengan kita wahai warga Malaysia?
Hebat sangatkah menjadi penghuni yang bermastautin di Mont Kiara itu? Memang tiadakah walau sekelumit individu berstatus B40 di kawasan tersebut?
Merak Jalanan hendak tanya kepada si fulan yang mengeluarkan dakwaan sebegitu, adakah kamu akan selama-lamanya M40 atau T20?
Sekiranya pusat beli-belah di Mont Kiara itu terbakar, adakah pasukan bomba dan penyelamat kategori M40 dan T20 yang akan memadam kebakaran serta menyelamatkan nyawa?
Bagaimana pula sekiranya si fulan T20 sakit, kemudian memerlukan rawatan di hospital kerajaan. Adakah jururawat yang membantu anda turun dari katil wad itu daripada kategori M40?
Kita ini sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara berbilang bangsa dan majmuk, cubalah menerima seadanya semua golongan.
Ayat kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan itu sendiri memaktubkan setiap warga Malaysia wajib menyantuni semua golongan tidak mengira bangsa, darjat mahupun usia.