Pulau Pinang, jalan sesak berpisah tiada

Iklan
Ramai rakyat Pulau Pinang menarik nafas lega apabila mendengar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini. - Gambar hiasan

Isu kesesakan trafik di Pulau Pinang bukan perkara asing buat rakyat tempatan di negeri tersebut. Tidak kira di kawasan pulau atau Seberang Perai, pastinya masalah kesesakan aliran trafik menjadi perkara ngeri yang bermain di fikiran orang ramai setiap pagi.

Sekiranya berlaku kemalangan apatah lagi pada waktu puncak, pasti pengguna kenderaan akan tersangkut berjam-jam lamanya untuk sampai ke destinasi yang dituju terutama ke tempat kerja.

Iklan
Iklan

Disebabkan tersadai di atas jalan, habis rekod kedatangan kerja menjadi merah, sedangkan sudah keluar dari rumah lebih awal untuk sampai ke tempat kerja.

Seperti berlaku baru-baru ini, ribuan kenderaan termasuk motosikal yang bertali arus masuk ke Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan luar biasa dipercayai akibat satu laluan terhalang susulan berlaku kemalangan jalan raya.

Iklan

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan dari Sungai Dua menuju jambatan dianggarkan sejauh 20 kilometer sehingga kenderaan tidak bergerak di atas jalan raya.

Sebenarnya, kalau tidak berlaku kemalangan pun, kesesakan trafik adalah pemandangan biasa setiap pagi dari Sungai Dua menuju ke Jambatan Pulau Pinang.

Iklan

Pada sebelah petang pula, kesesakan akan terkesan dari Simpang Ampat menuju ke kawasan Perai. Kalau salah mengatur jadual perjalanan, hadaplah kesesakan yang sangat menguji kesabaran.

Sebab itu penulis percaya ramai rakyat Pulau Pinang menarik nafas lega apabila mendengar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Kebanyakan laluan di antara dua kawasan berkenaan kini sudah tidak lagi mampu menampung bilangan trafik sehingga menyebabkan kesesakan yang berpunca akibat konflik laluan di PLUS (Juru-Sungai Dua) dan Jambatan Pulau Pinang serta Perai.

Sehubungan itu, rata-rata pakar pengangkutan berpendapat projek yang mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan Persekutuan menjadi jalan keluar kepada impak sistem rangkaian jalan yang telah menyebabkan penguraian trafik berada pada tahap kurang sempurna sebelum ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Nur Sabahiah Abdul Sukor menyifatkan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua sangat bertepatan untuk mengatasi kesesakan trafik, khususnya laluan di kawasan Seberang Perai.

Nur Sabahiah yang juga penyelidik dalam kejuruteraan pengangkutan berkata, kesesakan trafik di jajaran Juru ke Sungai Dua dan sebaliknya sangat meruncing lebih-lebih lagi pada waktu puncak.

"Projek itu bukan sahaja bermanfaat kepada penduduk Pulau Pinang yang setiap hari berulang-alik ke tempat kerja tetapi dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan berkenaan pada musim cuti dan perayaan.

"Diharapkan kerajaan Pulau Pinang akan terus komited meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua berupaya memisahkan trafik tempatan dengan trafik terus menghala ke bahagian utara atau selatan.

"Ia akan memisahkan trafik tempatan iaitu kenderaan yang ingin kawasan-kawasan tempatan dengan trafik iaitu kenderaan yang menghala terus ke bahagian utara atau selatan.

"Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dialami sekarang memandangkan kedua-dua trafik itu terpaksa berkongsi jalan yang sama,” katanya.

Dengan pelaksanaan projek baharu tersebut, diharap menjadi penyelesaian ideal bagi masalah kesesakan lalu lintas, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya di Pulau Pinang.

* Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Biro Utara