Titah Agong bukti isu buli perlu ditangani secara serius

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara pada Selasa - Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

ISU buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menggemparkan negara baru-baru ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Seri Paduka Baginda pada Selasa menitahkan Kementerian Pertahanan memberi perhatian serius terhadap kes buli yang telah beberapa kali dilaporkan berlaku di universiti tersebut.

Iklan
Iklan

Memandang serius kes buli terbaharu yang mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang, Yang di-Pertuan Agong bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Titah baginda, kes buli melibatkan ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.

Iklan

Titah Sultan Ibrahim membuktikan betapa seriusnya isu berkenaan boleh membawa kesan kepada imej institusi pertahanan negara.

Buli menyebabkan nilai moral dan sosial individu semakin merosot dan melahirkan masyarakat lebih agresif dan kurang toleransi.

Iklan

Lebih membimbangkan lagi, jika isu berkenaan tidak ditangani maka ia boleh mewujudkan generasi yang tidak sihat dari segi mental dan emosional.

Ia juga menjejaskan perkembangan modal insan, yang merupakan elemen penting dalam kemajuan dan daya saing sesebuah negara.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang akhbar pada Isnin berkata, kementeriannya akan melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi mencegah berlakunya kes buli di ALK, UPNM dengan mengasingkan pelajar di akademi berkenaan.

Ujar beliau, pengasingan membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan dan melakukan roll call secara berasingan mengikut tahun pengajian kadet.

Sudah pasti, rakyat akan melihat keberkesanan inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menyelesaikan kes di UPNM.

Pelaksanaan tersebut perlu setimpal dan diikuti dengan langkah penguatkuasaan bagi menunjukkan betapa tegas kerajaan dalam membasmi isu buli dalam negara ini.

Ia kerana hukuman dan tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap pembuli dapat memberi pengajaran kepada mereka sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kesalahan ini.