Cadangan 'school district' perlu dijelas lebih terperinci

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada 4 November lalu

SHAH ALAM - Cadangan untuk mewujudkan school district dengan sistem kemasukan sekolah berpusat yang dikatakan mampu mencapai integrasi kaum di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, inisiatif yang diusulkan sudah bagus, namun kelebihan ia dilakukan dan cara pelaksanaannya masih tidak jelas.

Iklan
Iklan

"Kita guna satu kaedah cukup mudah iaitu anak-anak yang belajar bersama-sama sewaktu mereka kecil tetap akan berhubung apabila mereka dewasa nanti. Itu sahaja pun sudah cukup baik dan senang.

"Jadi, apabila disebut mengenai school district ini bukan tidak baik tetapi kita nak tahu apa maksud sebenar cadangan tersebut dan bagaimana ia bakal beroperasi sehingga mampu menyatupadukan rakyat,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Sinar Harian pada 4 November lalu melaporkan tentang program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya? yang membincangkan cabaran serta penambahbaikan sistem pendidikan negara selari dengan transformasi hari ini.

Menerusi program berkenaan, sebanyak 20 syor dirumuskan dan pendekatan serius yang perlu diambil kerajaan antaranya dasar pendidikan berasaskan teknologi, penyelesaian isu kekurangan guru, memantapkan polisi pendidikan negara dan mengolah semula kurikulum dan kokurikulum.

Iklan

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia memang perlu disambut baik kerana ia membawa kepada keharmonian dalam negara.

Bagaimanapun ujarnya, masalah utama yang dilihat menjadi punca kepada jurang antara kaum sebenarnya bermula daripada sistem persekolahan kini.

"Masalah kita sekarang ini, anak-anak khususnya di sekolah rendah sudah dipisahkan mengikut kaum. Pada usia yang begitu muda, waktu tadika lagi mereka dipisahkan... yang Melayu ke tadika Melayu Islam dan bukan Melayu ke tadika etnik masing-masing.

"Apabila mereka melanjutkan pelajaran di sekolah rendah begitu juga sifatnya, Melayu ke sekolah kebangsaan Melayu, Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina dan yang India ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

"Selepas itu, ketika di sekolah menengah barulah kita mahu campur mereka. Pada waktu itu, kita sudah tidak dapat lihat integrasi kaum sebaliknya yang terjadi hanya polarisasi kaum berpunca daripada apa yang kita semai sejak tadika,” jelasnya.

Justeru, tambahnya, cadangan untuk mewujudkan school district dengan sistem kemasukan sekolah berpusat itu boleh dilaksanakan untuk atasi masalah berkenaan, namun memerlukan penjelasan lebih terperinci daripada pihak terlibat.