Ibu hantar anak ke balai polis, gara-gara tak siap kerja sekolah

Iklan
Pegawai polis (kiri) ketika sedang menyoal anak Nor Syuhada di balai polis.

SHAH ALAM - Seorang wanita bertindak menghantar anak lelakinya ke balai polis sebagai pengajaran kerana sering tidak menyiapkan kerja sekolah.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian video TikTok milik Nor Syuhada Mohd Zahri, 42, sebelum ini setiap kali ditanya, anak bongsunya yang berusia 11 tahun itu akan memberitahu telah menyiapkan kerja sekolahnya.

Bagaimanapun katanya, tindakan berkenaan terbongkar apabila guru memaklumkan cerita sebenar kepadanya.

Iklan

"Tapi saya terkejut apabila guru kelas beritahu anak saya sebenarnya tidak siapkan kerja sekolah. Bila tanya di rumah, dia kata sudah buat di sekolah.

"Saya malas hendak bising-bising, jadi saya bawa anak saya terus pergi ke balai polis berdekatan untuk takutkan dia.

Iklan

"Saya bawa dia pergi ke pegawai bertugas dan berlakon untuk hantar anak sebab tidak siap kerja sekolah. Ketika itu, polis pun memahami keadaan sebenar jadi mereka ikut berlakon sekali,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nor Syuhada (kanan) bersama anaknya

Menurut Nor Syuhada yang juga seorang guru, pegawai polis turut memberi kerjasama selain menggertak akan dimasukkan ke dalam lokap sekiranya masih mengulangi kesalahan sama.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, tindakannya itu bertujuan bagi memberi pengajaran supaya anaknya menyedari kesilapan yang dilakukan.

"Polis banyak bertanya dan soal siasat anak saya untuk takutnya dia. Ada juga yang tunjuk gari dan bawa kereta polis.

"Yang paling dia rasa insaf adalah apabila polis tunjuk lokap, masa itu memang dia menangis dan banyak kali minta maaf,” ujarnya.

Jelas Nor Syuhada, anaknya mula menunjukkan perubahan sikap selepas kejadian tersebut dan menyiapkan kerja sekolah seperti mana yang dijanjikan.

"Terima kasih atas kerjasama pihak polis. Memang anak saya sudah serik dan dia pun sudah berjanji tidak akan buat kesalahan sama lagi,” menurutnya.

Perkongsian video tersebut sehingga kini mendapat tontonan sebanyak 3.8 juta dan 130,000 tanda suka di platform TikTok.