SHAH ALAM - Status orang kurang upaya (OKU) terlantar tidak menjadi halangan buat anak istimewa penghidap Palsi Serebrum (CP), Muhammad Riyadh, 16, untuk melakukan aktiviti sukan air seperti menaiki jetski dan parasailing.
Bapanya, Mohd Radi Faissal, 43, berkata, dia bersama isteri, Norfazilawati Abd Wahab gemar mendedahkan anak sulungnya yang mesra disapa Abang Iki itu dengan kegiatan riadah dan aktiviti air serta pantai, namun belum berpeluang untuk mencuba perkara lebih mencabar.
Menurutnya yang juga pengasas bersama Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), hampir tiada aktiviti jetski dan parasailing yang disediakan khusus buat golongan sedemikian di negara ini kecuali ketika mereka sekeluarga bercuti ke Langkawi baru-baru ini.
"Kami dah cari di merata-rata tempat, tetapi tiada yang menawarkan aktiviti khas sebegitu untuk anak-anak OKU berkerusi roda kecuali minggu lalu ketika bercuti ke Langkawi, kami berpeluang bawa Abang Iki naik jetski dan parasailing.
"Pengusaha perniagaan sukan air itu pun benarkan dan ia menjadi salah satu impian kami suami isteri sebab nak Abang Iki rasa gembira, malah dia sangat teruja.
"Perkongsian di TikTok sekadar ingin menyampaikan kesedaran dan mendidik ibu bapa yang mempunyai anak CP supaya buat aktiviti atau cipta memori bersama-sama sebanyak mungkin sementara anak masih kecil," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Radi berpandangan, perkongsian video aktiviti anaknya itu sedikit sebanyak membuka mata masyarakat terutamanya ibu bapa penghidap CP untuk mencuba perkara sama.
Tambahnya, boleh dikatakan anaknya ialah OKU berkerusi roda atau terlantar pertama berani melakukan kegiatan tersebut sebagai inspirasi buat ibu bapa di luar sana untuk mengetahui jenis aktiviti yang boleh dibuat meskipun pergerakan golongan sebegini agak terbatas.
"Saya memang bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada pengusaha itu kerana memberikan peluang buat kami. Bukan itu sahaja, disebabkan perkongsian di TikTok, ramai yang tanya saya macam mana nak naik serta berapa pula kosnya.
"Lebih-lebih lagi ibu bapa sebab mereka teruja bila tahu anak-anak CP boleh buat aktiviti sebegini.
"Justeru, jangan takut dengan persepsi orang dan bawalah anak-anak buat aktiviti yang mereka boleh cuba. Namun, bergantung kepada keadaan anak sebab bimbang sesetengahnya gayat atau mudah tantrum," ujarnya.