Cerminan Malaysia wujud dalam bahasa kolokial

Iklan
Duduk dari kiri: Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Mohamad Sobri Mat Daud, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman bersama sebahagian peserta yang hadir pada Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial yang diadakan pada Rabu.

BANGI - Bahasa kolokial mampu memupuk semangat perpaduan dan menyatukan rakyat Malaysia menerusi konteks Madani.

Kolokial menurut kamus dewan ialah bersifat percakapan atau bahasa basahan (bukan bahasa buku), ia merujuk kepada bahasa tidak rasmi namun lebih mesra kerana dituturkan dengan orang dalam lingkungan sosial yang sama.

Iklan
Iklan

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, dalam soal perpaduan, terdapat pelbagai faktor yang boleh dan mampu diguna pakai atau digemblengkan untuk tujuan penyatuan ummah.

Menurutnya, pada zaman moden, banyak negara telah mencapai kemerdekaaan, menggunakan bahasa negara masing-masing untuk menyatukan rakyatnya melalui proses pembentukan negara bangsa.

Iklan

"Negara bangsa merujuk kepada warganegara yang bukan sahaja bersatu, tetapi juga mendukung jati kebangsaan secara kental,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Utama Sesi 1bertajuk ‘Bahasa Kolokial Pemangkin Perpaduan Masyarakat Madani’ sempena Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara Malaysia di sebuah hotel di sini pada 6 November 2024.

Iklan

Hadir sama ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Kok Seong turut mengambil contoh bagaimana Republik Indonesia menggunakan bahasa untuk tujuan penyatuan wilayahnya yang luas meskipun rakyatnya memiliki bahasa yang berbeza.

"Di rantau ini, kejayaan Republik Indonesia itu bukan sahaja luar biasa tetapi perlu diteladani. Untuk tujuan penyatuan nasional, Indonesia mengangkat bahasa Melayu yang diberi nama nasional, iaitu Bahasa Indonesia,” katanya.

Tambahnya, Indonesia bukan sahaja berjaya dalam penyatuan linguistik tetapi mampu menggembleng sekitar 1,500 suku peribumi yang menggunakan bahasa masing-masing sebagai satu komuniti nasional dengan jati diri kebangsaan.

"Kaedah ini menjadikan setiap warganya fasih berbahasa Indonesia, termasuklah yang bukan asal antaranya etnik Tionghua,” katanya.

Jelasnya, rakyat Malaysia perlu juga memanfaatkan penyatuan linguistik yang terbukti berjaya membawa kepada penyatuan.

"Hasrat ini digagaskan pada Penyata Pendidikan Razak 1956 melalui kenyataan tujuan dasar pendidikan dalam negara ini adalah untuk menyatukan pelajar daripada semua bangsa dalam negara dengan menggunakan satu peraturan pendidikan iaitu kurikulum yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai pengantar yang utama,” ujarnya.

Mengulas isu yang sama Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan Yong Hoe berkata, banyak perkataan baba dan nyonya sudah pun ada dalam Kamus Dewan.

"Perkataan kuih, loteng berasal daripada perkataan yang digunakan oleh baba dan nyonya malah mereka turut memperkenalkan ejaan rumi dan menulis pantun.

"Kita ada cetakan semula pantun pada tahun 1912 dan telah diserahkan pada Arkib Negara kerana ia merupakan khazanah bangsa yang perlu disimpan,” jelasnya.

Pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan UKM, Profesor Madya Dr R Ramalinggam berkata, bahasa kolokial sebenarnya menjadi bahasa penyatuan dalam masyarakat India dan Malaysia.

Beliau mengambil contoh perkataan ‘macha’ yang digunakan secara meluas di Malaysia merujuk kepada panggilan kepada rakan dan sahabat baik kita.

"Sebenarnya macha itu dalam bahasa Tamil bermaksud ipar lelaki,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ialah rekod mengenaibahasa kolokial itu perlu diadakan supaya perkembangannyaboleh dilihat secara berstruktur dan sistematik.

KPN cadang pengajian bahasa kolokial di IPT

Sementara itu, Aaron berkata, KPN mencadangkan pengajian atau pelajaran mengenai bahasa kolokial dan dialek atau loghat tempatan dijadikan sebagai sukatan pelajaran bagi pengajian kebahasaan di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Aaron berkata, perkara itu dapat dilakukan dengan kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Program pendidikan yang melibatkan penceritaan, puisi dan seni persembahan dalam bahasa kolokial boleh meningkatkan penghargaan pelajar terhadap warisan linguistik mereka.

"Apabila kita sudah mengumpul maklumat mengenai pelbagai bahasa, langkah seterusnya adalah untuk institusi pendidikan tinggi jadikan ia sebagai satu sukatan pelajaran," katanya.

Sementara itu, Jaafar Sidek berkata sebanyak 11 siri Bicara Bahasa Kolokial telah dilaksanakan sejak tahun lepas bagi mengangkat peranan bahasa sebagai ejen perpaduan.

Aaron bersama Mohamad Sobri (kiri) dan Jaafar Sidek (kanan) merasmikan Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial yang diadakan di sini pada Rabu.


Beliau berkata, pada tahun 2025, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi pendidikan tinggi, pengkaji dan penyelidik serta persatuan bahasa untuk mengumpul maklumat mengenai bahasa kolokial dan dialek.

"Kita cuba mendokumentasikan bahasa kolokial dan dialekdari seluruh negara serta gerak kerja ini akan bermula tahun hadapan. Kita mahu bahasa ini tidak pupus dan akan menjadi warisan khazanah negara," katanya.

Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial selama dua hari bermula Rabu itu diadakan bertujuan mengumpulkan dan mendokumentasikan maklumat berkaitan bahasa kolokial supaya kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

Konvensyen itu turut menampilkan pemimpin pengkaji bahasa dan budaya, penggiat seni sastera dan budaya, ahli akademik serta komuniti pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak untuk membincangkan strategi dan pendekatan terbaik mendokumentasikan dan melestarikan penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan masyarakat.

Reaksi



"Konvensyen ini amat bermanfaat dan memberi maklumat terkini mengenai bahasa kolokial.” - Wan Putri Nurzafirah Wan Hasbullah,20



"Konvensyen ini dapat buka ruang perbincangan lebih luas kepentingan bahasa kolokial.” - Humaira Najiha Rosli, 20



"Usaha mendokumentasikan bahasa penting supaya ia boleh terus diwarisi.” - Syaflin Kimieadley Rosli,19