SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada pagi Rabu di usia 86 tahun.
Perkara berkenaan disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dalam kes mahkamah.
Menurut Gurdial, tokoh politik dan ahli perniagaan itu dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lepas.
"Betul, beliau meninggal dunia dan akan dikebumikan hari ini.
"Tun mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi. Belum ada maklumat lanjut,” katanya.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Daim memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mencapai pembangunan pesat dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang fokus kepada pengindustrian dan eksport.
Di bawah kepimpinannya sebagai Menteri Kewangan, Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan beberapa pembaharuan dalam sektor kewangan serta pelaburan infrastruktur.
Beliau juga terkenal dengan pendekatan pragmatik dalam pengurusan kewangan negara dan dikenali sebagai seorang tokoh yang berdedikasi dalam menggalakkan pembangunan ekonomi.
Di luar politik, Daim terlibat dalam pelbagai perniagaan dan pelaburan serta dianggap sebagai salah satu individu yang berpengaruh dalam dunia korporat di Malaysia.
Beliau juga diketahui bersikap lantang dalam menyuarakan pendapatnya tentang isu-isu nasional, terutamanya dalam bidang ekonomi.
Walaupun telah bersara daripada politik aktif, Daim masih memainkan peranan penting dalam memberi pandangan terhadap polisi-polisi ekonomi negara.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Isterinya, Na'imah, 66, pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan golongan kaya dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan syarikat berpangkalan di luar negara.
Nie Ching ucap takziah kepada keluarga Tun Daim
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada pagi Rabu.
Perkara itu dizahirkan Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai sebelum menjawab soalan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tun Daim yang meninggalkan kita pagi tadi (Rabu),” katanya.
Pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini pada usia 86 tahun meninggalkan kesan mendalam terutama kepada rakan yang bersama-sama membangunkan ekonomi negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, jelas amat bersedih dengan pemergian Tun Daim yang sama-sama berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/696275/berita/semasa/tun-daim-zainuddin-meninggal-dunia
Muzik:A New Hope by EdRecords - bensound.com
#SinarHarian #BuletinTikTok #TunDaimZainuddin #Tokohekonomi
" />