Rumah dijadikan stor simpan telekung tiruan diserbu

Iklan
Anggota KPDN memeriksa telekung yang disyaki menggunakan jenama tiruan di Rengit, Batu Pahat.

BATU PAHAT - Sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan telekung dan beg jenama terkenal disyaki tiruan di Rengit diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam operasi jam 11 pagi itu, seorang wanita warga tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pemilik perniagaan ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, KPDN menyita sebanyak 3,585 telekung pelbagai warna, 700 unit beg tenunan dan 100 unit kotak disyaki tiruan mengunakan label jenama terkenal bernilai RM126,775.

"Kesemua tindakan diambil berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan.

Iklan

"KPDN Batu Pahat mengambil masa selama dua minggu bagi pemantauan serta risikan," ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Tindakan diambil bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut.

Iklan

Menurut Lilis Saslinda, siasatan awal dijalankan mendapati, syarikat berkenaan telah beroperasi sejak dua tahun lalu dan bergerak aktif melalui penjualan dalam talian kepada pelanggan selain pembelian secara terus dari rumah.

"Tindakan diambil bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut.

"Berdasarkan rekod bagi tahun 2024 termasuk tindakan kes ini, KPDN Cawangan Batu Pahat telah mengambil tindakan sebanyak empat kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM150,155," katanya.

Tegas beliau, KPDN Johor memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjalankan urusniaga dengan barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap kesalahan dilakukan.


Premis perniagaan warga asing digempur, 11 diarah ditutup

KULAI - Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menggempur kawasan sekitar Senai di sini, dalam usaha membanteras peniaga warga asing.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 11 premis diarah tutup oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi operasi yang dijalankan pada Selasa.

"Sebanyak 11 notis tutup premis telah dikeluarkan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sebahagiannya dikendalikan oleh warga asing.

MPKu menggempur kawasan sekitar Senai dalam usaha membanteras peniaga warga asing.

"Selain itu, 14 notis arahan hadir ke MPKu telah dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberikan keterangan lanjut dan mengisi borang Aku Janji Menjalankan Perniagaan.

"MPKu turut mengeluarkan sembilan notis kerana kerana kesalahan tidak mematuhi peraturan ruang siar kaki," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Mohd Jafni, sebanyak 16 PBT di negeri ini sudah diarahkan ‘turun padang’ membuat pemeriksaan terhadap lesen perniagaan dan mengambil tindakan kepada pemilik yang menyewa perniagaan kepada warga asing.

Sebuah premis perniagaan yang diarahkan tutup serta-merta oleh MPKu. - Foto Facebook MPKu

"Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa. Pemilik perniagaan diingatkan tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

"Selain itu juga pemilik dilarang menyalahgunakan lesen dan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain terutamanya warga asing kerana tindakan tegas akan diambil," ujarnya.