Kementerian Komunikasi teliti keperluan pinda, tambah baik Akta 588

Iklan

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi akan meneliti dengan sewajarnya keperluan untuk meminda dan menambah baik Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] bagi mengekang aktiviti memudaratkan dalam talian.

Iklan
Iklan

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, penelitian itu akan dilakukan bersama-sama kementerian lain yang berkaitan.

"Pada masa ini, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] adalah antara peruntukan sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.

Iklan

"Peruntukan ini hanya akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

"Tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam dan juga permohonan daripada agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) sama ada kementerian mempunyai pelan untuk mengkaji dan memperkemaskan Akta 588 untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menambah, MCMC akan menjalankan siasatan secara telus terhadap kandungan yang diadukan dan hasil siasatan kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan.

Dalam usaha untuk memastikan peruntukan seksyen 233 Akta 588 selari dengan perkembangan semasa katanya, MCMC proaktif dalam menjalankan sesi libat urus yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan, antara lain, dari kalangan pemain industri, kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta organisasi bukan Kerajaan.

"Setakat tahun 2024, beberapa sesi libat urus telah dijalankan oleh MCMC, antara lain termasuk cadangan berhubung pindaan kepada Seksyen 233,” katanya.