PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Indonesia disyaki bertindak sebagai 'transporter' dalam serbuan di sebuah premis kediaman yang dijadikan rumah penampungan di Kajang, Selangor pada Isnin.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat awam serta risikan selama dua minggu, pasukan operasi khas telah diatur gerak ke lokasi dan mengekori sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Beliau berkata, pasukan operasi menahan kenderaan tersebut di sebuah premis dan menahan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Jon berusia 42 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di premis kediaman menahan dua lagi ahli sindiket.
"Kedua-duanya adalah lelaki warga Indonesia berusia 20 dan 41 tahun yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis.
"Turut ditahan 21 lelaki dan lima wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 50 tahun.
"Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 29 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, hasil semakan awal mendapati 13 orang telah tinggal lebih masa, manakala yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Menurutnya, pasukan operasi merampas 14 pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, modus operandi sindiket adalah membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
Jelasnya, warganegara asing yang diseludup masuk akan ditempatkan sementara di sebuah rumah penampungan sebelum dibawa ke lokasi tertentu menggunakan kenderaan.
Tambahnya, pihak sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang PATI yang dibawa.
Menurutnya lagi, kegiatan sindiket dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.
"Bagi penahanan ini, seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J dan dua lelaki Indonesia lain ditahan di bawah Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Kesemua migran warganegara Indonesia yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Tegas beliau, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007.