KOTA BHARU - Musim Monsun Timur Laut (MTL) membataskan nelayan untuk turun lebih jauh ke laut berikutan bimbang keadaan angin dan ombak ketika menangkap ikan.
Justeru, nelayan di Kampung Pantai Baru, Melawi, Bachok mengambil keputusan menahan pukat di pesisir pantai sepanjang musim ini.
Mat Hasmady Elmy Mat Hasan, 34, berkata, dia menahan pukat dua kali sehari berikutan tangkapan ikan kurang memberangsangkan.
"Saya akan turun selepas Subuh kira-kira jam 6 pagi untuk meletakkan pukat dan akan pergi semula menaikkan ikan kira-kira jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di pantai itu.
Menurut Mat Hasmady, kekurangan hasil bukan halangan untuk pergi ke laut kerana itu merupakan kerja hakikinya mencari rezeki.
"Kami akan tetap bekerja walaupun laut bergelora tetapi dalam keadaan berjaga-jaga.
"Biasanya saya akan melihat maklumat berkaitan keadaan cuaca di portal atau laman web yang boleh dipercayai melalui telefon selain menggunakan petua orang tua yang berpandukan situasi di laut," katanya.
Jelasnya lagi, mereka memperoleh ikan sehingga 60 kilogram (kg) antara Mac hingga Jun setiap kali turun ke laut.
"Musim ini saya hanya dapat 30kg ikan sahaja untuk sekali tangkapan, ada juga waktunya pulang dengan tangan kosong," katanya.
Nelayan, Wan Yusoff Wan Mat, 50, mengakui pendapatannya menurun sepanjang musim tengkujuh kerana mampu menangkap ikan hanya satu kilometer dari pesisir pantai berbanding musim panas sehingga 30km hingga 40km ke laut.
Jelasnya, pada musim ini juga ada nelayan yang terpaksa menanggung kerugian kerana hasil tangkapan tidak mampu menampung kos diesel bot.
"Saya terpaksa turun dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan selepas waktu Asar dengan harapan mendapat rezeki lebih pada musim ini," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Pantai Irama Bachok mendapati pantai lengang daripada kunjungan orang ramai.
Pegawai Pertahanan Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin, berkata, keadaan di pantai kini masih terkawal kerana ombak dan angin tidak membadai.
Menurut beliau, bendera merah hanya dipasang ketika angin kuat untuk mengingatkan pengunjung bahaya berada di kawasan pantai.
"Setakat ini mereka masih boleh berekreasi dan belum ada halangan untuk melakukan aktiviti air namun mereka sentiasa diingatkan supaya berwaspada," katanya.
MTL: Helikopter bomba tinjau dari udara
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan menjalankan tinjauan dari udara menggunakan helikopter sebaik MTL bermula di negeri ini pada bila-bila masa.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, tindakan itu sebagai langkah keselamatan awal bagi memantau keadaan sungai dan aliran air ke kawasan berisiko tinggi banjir.
"Apabila hujan bermula dan tidak berhenti, rutin setiap tahun helikopter bomba dari Subang akan melakukan penerbangan untuk memantau keadaan dari udara.
"Tumpuan akan melihat kepada lokasi panas banjir terutama di penempatan penduduk berisiko di Rantau panjang dan Pasir Mas seterusnya di daerah-daerah lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Zainal mengulas, pihaknya turut akan memohon bantuan aset udara tersebut bagi keperluan operasi di kawasan sukar diakses seperti Gua Musang.
Katanya, seperti bencana tahun-tahun lalu, bantuan helikopter diterima Kelantan bagi tujuan pemindahan mangsa banjir, penghantaran makanan dan ubatan selain penghantaran pesakit.
"Helikopter tidak ada masalah, kami akan mohon dari Subang.
"Kurang sejam, sudah sampai di Kelantan untuk melakukan operasi menyelamatkan mangsa,” ujar beliau.
Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa peka keadaan cuaca dan patuh arahan pihak berkuasa.
"MTL di Kelantan bila-bila masa sahaja boleh berlaku dari sekarang.
"Sehubungan itu, semua perlu berwaspada bagi menggelakkan kejadian buruk atau meragut nyawa,” katanya.