SHAH ALAM - Pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada usia 86 tahun disifatkan sebagai satu kehilangan besar seorang tokoh ternama yang tiada galang gantinya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut terkesan dengan berita duka itu berkongsi momen dengan Daim sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, pertemuan bersama tokoh politik dan ahli perniagaan itu berlangsung di Menara Ilham, Kuala Lumpur.
Turut bersama dalam perjumpaan itu adalah beberapa tokoh ternama dalam Majlis Penasihat Kerajaan iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Tan Sri Robert Kuok, Professor Jomo Kwame Sundaram.
Jelas Zulkifli, beliau membentangkan salah satu idea utamanya untuk mewujudkan akta tersendiri bagi Mufti Wilayah Persekutuan, agar tidak lagi bergantung kepada Akta 505.
"Perancangan saya untuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melibatkan usaha untuk memperkukuh pengurusan dan pentadbiran melalui pendekatan baharu.
"Jawatan Mufti Wilayah Persekutuan perlu dimartabatkan sesuai dengan peranannya sebagai pihak berkuasa utama selepas YDPA dalam soal Hukum Syarak.
"Tun Daim dengan nada suara yang dalam dan tegas bertanyakan sama ada saya yakin bahawa autonomi itu benar-benar diperlukan untuk mencapai visi kerajaan baharu ini,” katanya dalam coretan di Facebook pada Rabu.
Tambah Zulkifli, beliau kemudiannya menjawab bahawa dengan akta yang khusus, Pejabat Mufti akan mempunyai lebih kebebasan dalam melaksanakan tugas.
Selain itu, dapat memperkukuh pentadbiran, mengurus sumber dengan lebih efektif dan mengembangkan peranannya yang lebih holistik untuk masyarakat Wilayah Persekutuan dan seterusnya di peringkat antarabangsa.
"Saya memberitahu bahawa Mufti Wilayah adalah suara Kerajaan Persekutuan dalam hal agama. Tun Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) telah melantik saya secara rasmi sebagai jurucakap kerajaan kepada dunia luar untuk isu-isu agama."
"Tun Daim dengan nada lembut yang penuh ketegasan kemudiannya mengatakan bahawa cadangan tersebut sangat berani dan memerlukan komitmen yang tidak sedikit.
"Saya kemudiannya menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab ini, demi memastikan institusi fatwa di Wilayah Persekutuan berfungsi dengan lebih efisien dan dapat memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.
Dalam perkongsian tersebut, Zulkifli turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.