GEORGE TOWN - Seorang pekerja kilang didakwa di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Rabu atas dua pertuduhan membunuh dua beranak dalam kejadian pada Khamis lalu.
Tertuduh, Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, yang kini dirawat di Wad C6 hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pekerja kilang dituduh membunuh Zulkifli Ibrahim, 62.
Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Farhan dituduh membunuh Siti Zulaila Zulkfli, 30.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 1, Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana di Ayer Itam di sini pada jam 12.54 tengah hari, 7 November lalu.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala Muhammad Farhan tidak diwakili peguam.
Nadratun yang tiba di HPP pada jam 11.37 pagi diiringi pegawai penyiasat masuk ke Wad C6 dan prosiding hanya mengambil masa tujuh minit
Nadratun menetapkan 15 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada petang Khamis, media melaporkan seorang wanita, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim pada jam 12.54 tengah hari, Khamis lalu.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Suspek yang mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri berjaya ditahan.
Suspek dirawat di HPP berada dalam keadaan stabil dan direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 14 November.
Hasil siasatan polis, cinta tidak berbalas merupakan punca pembunuhan dua beranak tersebut.
Suspek mempunyai perasaan terhadap Siti Zulaila namun mangsa menolaknya.
Akibat tidak berpuas hati, suspek bertindak menikam mangsa dan bapanya sehingga mati dipercayai menggunakan senjata tajam.