Ops Gerak: Lebih 300,000 kenderaan diperiksa

Iklan
Nik Nazmi (kanan) turut melakukan pemeriksaan perlepasan asap ketika membuat tinjauan sempena Ops Gerak.

SHAH ALAM - Sebanyak 335, 648 kenderaan diperiksa manakala 1, 123 tawaran kompaun dan 82 Perintah Larangan dikeluarkan atas kesalahan pelepasan bahan pencemar melebihi standard menerusi Ops Gerak Kenderaan Bermotor di seluruh negara bermula Januari sehingga September lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, inisiatif itu bertujuan bagi mempertingkatkan penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan bermotor dalam memastikan pematuhan terhadap standard pelepasan asap dan gas ditetapkan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ini tertakluk di bawah beberapa peraturan seperti Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Enjin Petrol 1996, Bunyi Bising Kenderaan Motor 1987, dan Pelepasan Daripada Motosikal 2003.

"Selain itu, operasi ini juga memberi fokus terhadap usaha untuk memastikan asap kenderaan tidak menyumbang kepada masalah pencemaran udara setempat, khususnya di bandar-bandar besar," ujarnya.

Iklan
Nik Nazmi (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian Operasi Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia di sini pada Rabu.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Perasmian Operasi Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia di Lebuhraya Shah Alam di sini pada Rabu.

Ops Gerak Kebangsaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS ini turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menyeru orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mengekang aktiviti pencemaran dengan menyalurkan laporan dan aduan mereka kepada pihak berkuasa.

Aduan boleh dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my, atau melalui portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.