KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap pemberi maklumat skandal rasuah membabitkan sebuah negeri susulan ancaman yang diterima mangsa melalui panggilan aplikasi WhatsApp pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, lelaki berusia 36 tahun bekerja sebagai kontraktor pembinaan itu menerima ugutan pada jam 11.02 malam ketika berada di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
"Sorang lelaki menghubungi mangsa selama 16 saat mengugutnya dan mendakwa daripada kumpulan pembunuh upahan.
"Suspek mendakwa menerima arahan untuk membunuh mangsa dalam tempoh 24 jam jika dia enggan menutup mulut berkaitan isu rasuah terbabit," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Razarudin berkata, suspek juga menghantar dua keping gambar pistol bersama peluru dan sekeping gambar orang ditembak dan terbaring di atas jalan.
"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Razarudin berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Terdahulu media melaporkan pemberi maklumat skandal rasuah yang mendapat perhatian selepas mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta campur tangan berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tampil membuat laporan polis.
Pemberi maklumat mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbincang mengenai wang.
Dia mendakwa bahawa ia adalah rasuah yang diberikan sebagai pertukaran untuk sokongan mereka untuk projek di negeri terbabit.