KUANTAN - Isu pembersihan Hutan Sungai Lembing akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, tindakan itu dibuat selepas mendakwa kerajaan Pahang gagal memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
"Sudah melebihi 30 hari sejak saya mula menyuarakan kebimbangan berkenaan satu kawasan hutan dalam Sungai Lembing.
"Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri masih lagi berdiam seribu bahasa sedangkan pembersihan kawasan (berlaku) dan mungkin (ia) melebihi 100 hektar," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, pembukaan hutan yang membawa kepada pengeluaran pertanian melebihi 20 hektar atau pembangunan mahu pun pembersihan kawasan bercerun melebihi 25 peratus perlu mematuhi Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tegas Mohamad Ayub, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) juga perlu disediakan bagi tujuan sebarang aktiviti yang ditetapkan di bawah perintah itu.
"Saya soal, di mana EIA bagi kawasan berkenaan. Kita harap kerajaan negeri tidak berterusan mengambil sikap sambil lewa dan segera menjawab segala persoalan yang timbul ini," katanya.
Terdahulu, Mohamad Ayub memohon penjelasan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan berhubung dakwaan terdapat penghapusan hutan di Sungai Lembing.
Isu itu telah mendapat maklum balas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan perkara tersebut telah diberi perhatian serius dan ia dalam tindakan pihak berkenaan.
Sementara itu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan tiada aktiviti penghapusan, penyahwartaan kawasan hutan simpanan kekal (HSK) berlaku di Sungai Lembing di sini sebaliknya terdapat kerja pembangunan tanah bagi tujuan penanaman kelapa di atas tanah kerajaan seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Jelas JPNP, kawasan dimaksudkan di luar HSK di Sungai Lembing dan kerja pembangunan tanah di situ dikawal selia di bawah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan.
Tegasnya, tiada sebarang permohonan dan kelulusan membalak bagi tujuan mengambil hasil hutan dan tiada sebarang kerja-kerja berkaitan pengumpulan kayu dan cubaan mengeluarkan kayu dilakukan pemaju.