Pemilik lori didakwa milik 3,399 liter diesel tanpa lesen

Iklan
Gambar hiasan

KOTA BHARU - Seorang pemilik lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memiliki 3,399 liter minyak diesel tanpa lesen dan gagal mengemukakan maklumat atau dokumen berhubung bahan api itu.

Rosli Hassan, 64, didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 3,399 liter yang dijumpai dalam lori tangki milik tertuduh di Jalan Kampung Gong Kala Sungai Petai, Pasir Puteh pada 5 pagi, 2 Februari lepas.

Iklan
Iklan

Dia didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang kawalan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa memiliki lesen yang sah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa gagal mengemukakan maklumat atau dokumen berhubung barang kawalan minyak diesel berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd Izzat Wan Abdullah bersama Pegawai Pendakwa, Muhammad Iman Masjuri manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Hanis Mohd Shariff.

Iklan

Wan Mohd Izzat menawarkan wang jaminan RM40,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM25,000 bagi pertuduhan kedua berdasarkan alasan keseriusan kerajaan membendung isu ketirisan barang kawalan minyak diesel.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan serta melapor diri di pejabat KPDN Kelantan pada setiap bulan dan 12 Disember ditetapkan untuk sebutan kes. - Bernama